Prosiding kes bunuh Kim Jong Nam bermula hari ini

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 2, 2017 11:29 MYT
Kenderaan polis yang membawa suspek kes bunuh Kim Jong Nam ke Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. - Astro AWANI/Shahir Omar
Prosiding pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam, bermula hari ini di Mahkamah Tinggi di sini di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin.
Kedua-dua tertuduh, warganegara Indonesia, Siti Aisyah, dan warganegara Vietnam, Doan Thi Huong, memasuki kamar mahkamah pukul 9.03 pagi dengan bergari sambil diiringi polis.
Perbicaraan dikendalikan enam pendakwaraya diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad dan dibantu Wan Shaharuddin Wan Ladin, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Mohd Fairuz Johari, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dan Syed Farid Syed Ali.
Perbicaraan bermula 9.07 pagi dengan kedua-dua tertuduh diwakili peguam masing-masing.
Wakil kedutaaan kedua-dua negara turut berada di ruang awam kamar mahkamah untuk menyaksikan prosiding tersebut.
Pertuduhan dibacakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama oleh jurubahasa dalam bahasa kebangsaan masing-masing.
Kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham dan mohon dibicarakan.
Kedua-dua tertuduh bersama empat lagi yang masih bebas didakwa membunuh Kim Jong Nam yang memegang pasport Korea Utara pada jam 9 pagi 13 Februari lalu di Lapangan Tebang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2).
Mengikut senarai pendakwaan, seramai 153 saksi akan dipanggil sepanjang prosiding yang dijadual berakhir pada 30 Oktober depan.
#kes bunuh #Kim Chol #kim jong nam #Korea Utara #mahkamah prosiding #Mahkamah Tinggi #siti aisyah
;