Prosiding Jong Nam: Prosiding ditangguh, saksi lupa bawa diari

Hafiz Marzukhi
November 7, 2017 14:15 MYT
Prosiding ditangguhkan kerana saksi kesembilan tidak membawa diari.
Prosiding perbicaraan kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong Nam terpaksa ditangguh ke sesi petang selepas saksi tidak membawa diari yang mengandungi butiran penting dalam siasatan kes tersebut.
Peguambela salah seorang tertuduh, Siti Aisyah iaitu Gooi Soon Seng memohon kepada Hakim Datuk Azmi Ariffin untuk menangguhkan perbicaraan selepas saksi kesembilan ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz tidak mengingati butiran mengenai proses siasatan.
"Bilakah anda dapat maklumat berhubung empat suspek yang dikenali sebagai Mr. Chang, Mr. Y, Hanamori dan James?" tanya Gooi kepada Wan Azirul ketika sesi periksa balas.
"Saya tidak ingat. Saya ada tulis dalam diari tetapi tidak bawa," jawab Wan Azirul.
Gooi kemudiannya memohon supaya perbicaraan tidak diteruskan selagi diari tersebut tidak dibawa.
"Ini adalah butiran penting. Saya tidak boleh beralih ke soalan lain selagi perkara ini tidak diperiksa balas," kata Gooi.
Hakim Datuk Azmi kemudian meminta Wan Azirul untuk membawa diari itu untuk sesi periksa balas petang ini.
Sesi tersebut dijangka bermula antara 2 hingga 3 petang.
#Datuk Azmi Ariffin #ditangguh #hakim #kim jong nam #proses siasatan #saksi kesembilan #Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz #warga Korea Utara
;