Prosiding Jong Nam: Perbicaraan hari kesembilan di KLIA2

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 24, 2017 09:55 MYT
Kelihatan dua tertuduh Doan dan Siti Aisyah dikawal ketat oleh pasukan STAFOC ketika dibawa ke lokasi-lokasi tersebut. - Foto Astro AWANI/Harits Asyraf Hasnan.
Perbicaraan hari kesembilan kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong Nam bermula pukul 9.20 pagi tadi di Balai Polis, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2).
Hakim Datuk Azmi Ariffin tiba di KLIA2 pukul 9.10 pagi selepas kedua-dua tertuduh, warga Indonesia, Siti Aisyah dan warga Vietnam, Doan Thi Huong serta pasukan peguam bela tiba 20 minit sebelum itu.
Sebelum prosiding, Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) meninjau empat lokasi di mana prosiding akan berlangsung.
Lokasi menjadi fokus prosiding hari ini adalah kaunter daftar masuk di mana pembunuhan tersebut dikatakan berlaku, tandas di mana kedua-dia tertuduh mencuci tangan mereka selepas menyapu cecair dipercayai Agen Saraf VX di muka Jong Nam, klinik di mana Jong Nam mendapatkan rawatan awal serta hentian teksi yang dipercayai lokasi akhir kedua-dua tertuduh sebelum meninggalkan KLIA2.
Bagaimanapun, wakil media tidak dibenarkan untuk membuat liputan prosiding yang berlangsung di Balai Polis KLIA2 sebaliknya dibenarkan berada di empat lokasi awam tersebut.
Polis turut meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh KLIA2 lantaran kedua-dua tertuduh akan dibawa ke lokasi-lokasi tersebut.
BERITA LANJUT MENYUSUL
#Agen Saraf VX #Hakim Datuk Azmi Ariffin #jenayah #keselamatan #kim jong nam #KLIA2 #Korea Utara #Kuala Lumpur #PDRM #polis #Polis Diraja Malaysia #Sepang #STAFOC #Vietnam
;