Prosiding Inkues Muhammad Adib tamat
Hilmi Malik
Julai 24, 2019 10:42 MYT
Julai 24, 2019 10:42 MYT
Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan untuk menamatkan sesi Prosiding Inkues bagi mencari punca kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim setelah hampir lebih lima bulan ia berlangsung.
Perkara itu diputuskan Koroner Rofiah Mohammad yang turut memaklumkan tiada sebarang lagi saksi lain yang akan dipanggil.
"Mahkamah tidak akan panggil saksi lain, setakat ini kesemua keterangan sudah mencukupi dan sudah cukup untuk pihak mahkamah membuat keputusan," kata beliau.
Mahkamah Koroner turut menetapkan tarikh selewat-lewatnya sebelum 21 Ogos bagi kesemua pihak berkepentingan yang berhasrat untuk mengemukakan hujahan bertulis.
Prosiding Inkues yang bermula sejak 11 Februari lalu menyaksikan seramai 30 orang saksi yang tampil memberi keterangan merangkumi saksi pakar dan saksi awam.
Anggota bomba Balai Subang Jaya itu cedera parah ketika kejadian rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 pada 27 November lalu menghembuskan nafas terakhir selepas 21 hari bertarung nyawa.
Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu pada jam 9.41 malam di Institut Jantung Negara (IJN).