Prosiding 22 ahli GISB pindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam
Faida Rahim
Disember 23, 2024 11:00 MYT
Disember 23, 2024 11:00 MYT
SELAYANG: Mahkamah hari ini menetapkan prosiding melibatkan 22 ahli kumpulan Global Ikhwan Services & Business Holdings Sdn Bhd (GISB) termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya Nasiruddin Mohd Ali dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Ringkasan AI
- Prosiding melibatkan 22 ahli GISB, termasuk CEO Nasiruddin Mohd Ali, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, tetapi tarikh prosiding belum ditetapkan.
- Peguam bela memohon agar Nasiruddin dan isterinya ditempatkan dalam sel biasa kerana mereka telah dikurung secara berasingan selama sebulan.
- Kesemua tertuduh menghadapi pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020, dengan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Hakim Lailatul Zuraida Harron @Harun membuat keputusan itu pada sebutan semula kes kesemua tertuduh di Mahkamah Sesyen Selayang pagi ini.
Bagaimanapun, tarikh prosiding di Mahkamah Tinggi tersebut masih belum ditetapkan.
Peguam bela, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili tertuduh tidak membantah dengan permohonan pihak pendakwaan serta memohon kepada mahkamah supaya sepasang suami isteri iaitu Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya Azura Md Yusof ditempatkan ke dalam sel biasa.
“Sepasang suami isteri ini telah dikurung secara berasingan selama sebulan di penjara Sungai Buloh dan penjara Kajang.
"Namun, pihak kami akan membuat permohonan untuk melucutkan penahanan penjara secara berasingan dan ditempatkan ke dalam sel biasa. Mohon direkodkan di Mahkamah.
“Kami akan membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan mendapatkan surat sokongan polis untuk kedua-duanya,” kata Rosli.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Najib Zakaria berkata pihaknya juga akan membuat permohonan perintah larangan bersuara (gag order) di Mahkamah Tinggi.
“Ini kerana, kes itu tertakluk kepada perbincangan umum bersifat subjudis yang dikhuatiri akan mengganggu perjalanan kes,” kata Najib.
Kesemua pemimpin tertinggi itu berdepan satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, sejak 2020 lalu.
Oktober lalu, kesemua mereka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu, mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kesemua 13 lelaki dan sembilan wanita itu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang GISBH di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, di antara Okt 2020 dan 11 Sept 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 130V(1) itu membawa kepada hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
#GISB Holdings
#Mahkamah Tinggi Shah Alam
#Mahkamah Sesyen Selayang
#Global Ikhwan Services and Business