Proses ujian Aerotrain masih berjalan - Loke
Bernama
Januari 15, 2025 16:30 MYT
Januari 15, 2025 16:30 MYT
PUTRAJAYA: Proses penyelesaian projek Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) masih di peringkat ujian pelbagai fasa, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Ringkasan AI
- Proses penyelesaian projek Aerotrain di KLIA masih di peringkat ujian pelbagai fasa, termasuk ujian dinamik dan ujian sistem sepenuhnya.
- Kontraktor belum memberikan tarikh tetap untuk Aerotrain beroperasi, walaupun sebelum ini dijangka siap pada 31 Januari.
- Penggantian Aerotrain lama dengan sistem baharu dijangka meningkatkan pengalaman penumpang dan mengurangkan risiko gangguan operasi di KLIA.
Beliau berkata kontraktor yang terlibat sedang melaksanakan ujian dinamik dan beberapa ujian lain.
"Sekarang (kontraktor) masih menjalankan ujian dinamik tapi lepas itu ada ujian sistem sepenuhnya dan persepaduan sistem sebelum boleh diserahkan kepada pihak berkuasa untuk buat ujian terakhir.
"... walaupun sebelum ini mereka memberikan gambaran bahawa ia boleh siap pada 31 Jan, tetapi setakat ini mereka belum berikan tarikh yang tetap atau tarikh tertentu untuk Aerotrain (beroperasi)," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Aerotrain, sistem transit automatik yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menjadi tulang belakang pengangkutan dalaman lapangan terbang sejak mula beroperasi pada 1998.
Namun, dengan usia perkhidmatan melebihi dua dekad, sistem ini semakin kerap mengalami gangguan teknikal.
Pada tahun lepas, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan langkah untuk menggantikan sistem Aerotrain yang lama dengan sistem baharu.
Projek ini melibatkan perbelanjaan besar dan memerlukan masa untuk memastikan kesemua fasa ujian dijalankan dengan teliti.
Penggantian Aerotrain ini dijangka meningkatkan pengalaman penumpang di KLIA, mengurangkan risiko gangguan operasi, dan menyokong pertumbuhan trafik penumpang udara yang dijangkakan meningkat dalam beberapa tahun akan datang.
-- BERNAMA