Proses rawatan lebih panjang, slot janji temu rawatan gigi dihadkan - KKM

Bernama
Jun 8, 2021 22:47 MYT
Slot janji temu bagi rawatan pergigian di fasiliti kesihatan KKM dalam tempoh satu hari bekerja adalah sangat terhad berikutan proses rawatan yang mengambil masa lebih panjang berbanding sebelum penularan COVID-19. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Slot janji temu bagi rawatan pergigian di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh satu hari bekerja adalah sangat terhad berikutan proses rawatan yang mengambil masa lebih panjang berbanding sebelum penularan COVID-19.
Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) KKM Dr Noormi Othman berkata dalam situasi penularan COVID-19 yang semakin serius, KKM perlu mengamalkan beberapa norma baharu dalam penyampaian perkhidmatan selari garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) digariskan pihaknya dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ini katanya termasuk proses saringan yang lebih ketat di kaunter pendaftaran, mengehadkan kehadiran pesakit ke klinik dengan menggalakkan pengambilan janji temu secara dalam talian atau melalui telefon serta memberi janji temu secara berperingkat.
"Selain itu, tempoh pembasmian bilik rawatan pergigian setelah rawatan pergigian selesai untuk setiap pesakit juga dipanjangkan bagi memastikan persekitaran selamat, seterusnya mengawal penularan penyakit COVID-19 kepada pesakit dan juga anggota pergigian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk kepada artikel diterbitkan dua akhbar berbahasa Inggeris bertajuk 'Six-Months Wait Unresonable' dan 'A six-month wait for dental treatment?'.
Dr Noormi menjelaskan bahawa setiap pesakit yang hadir ke klinik pergigian akan dikategorikan sama ada sebagai pesakit berisiko rendah atau pesakit berisiko tinggi dengan pesakit berisiko rendah dibenarkan menjalani semua jenis rawatan manakala pesakit berisiko tinggi, terhad kepada rawatan kecemasan sahaja.
Menurutnya bagi rawatan seperti penskaleran dan tampalan yang melibatkan penghasilan semburan dan titisan air kecil (aerosol) yang bercampur air liur pesakit dan berpotensi tinggi menyebabkan penularan virus COVID-19 pula perlu dijalankan dalam bilik rawatan khas dilengkapi peralatan bagi mengawal dan mengurangkan penghasilan aerosol berkenaan.
"Semua anggota pergigian juga perlu memastikan pemakaian peralatan pelindung diri (PPE) yang lengkap dan mematuhi amalan kawalan jangkitan silang semasa menjalankan rawatan.
"Proses kerja ini merangkumi penyediaan bilik rawatan, pemakaian dan penanggalan PPE anggota pergigian dan pembasmian bilik rawatan pergigian setelah proses rawatan mengambil tempoh masa yang lebih panjang berbanding dengan situasi sebelum penularan COVID-19," katanya
Bagaimanapun tegas Dr Noormi, KKM amat prihatin dan sedang mengatur strategi bagi memastikan pesakit yang hadir diperiksa pada hari sama serta mengurangkan tempoh masa menunggu mendapatkan rawatan pergigian melalui slot janji temu.
"KKM merayu orang ramai agar bersabar dan memahami kekangan perkhidmatan kesihatan pergigian yang dialami dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
"Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN dan KKM bagi mendapatkan janji temu bagi pemeriksaan pergigian secara dalam talian atau melalui telefon di klinik pergigian berdekatan dengan kediaman masing-masing," katanya.
-- BERNAMA
#rawatan pergigian #Kementerian Kesihatan #KKM #COVID-19 #SOP #MKN #perintah kawalan pergerakan #PKP
;