Proses penyediaan murid ke sekolah lazimnya berlaku pada Januari - NGO Untuk Malaysia

Firdaus Azil
Disember 25, 2022 16:04 MYT
Buat masa ini, kementerian terikat dengan Akta Pendidikan 1996 yang memerlukan sesi persekolahan selama 190 hari setahun. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pengumuman Menteri Pendidikan Fadhlina Siddiq bahawa takwim persekolahan kembali kepada Januari, iaitu sama sebelum pandemik COVID-19, disifatkan sebagai wajar.
Ketua Pegawai Eksekutif Badan Bukan Kerajaan (NGO) Untuk Malaysia, Zulfikri Zamir berkata, perubahan itu perlu, selepas mengambil kira proses penyediaan anak-anak kembali ke sekolah, yang lazimnya berlaku pada penghujung tahun.
Jelasnya lagi, perubahan takwim harus berlaku pada saat-saat atau situasi yang unik dan kritikal sahaja, seperti COVID-19 sedang melanda negara.
“Saya fikir golongan guru ada keperluan kenapa mereka lebih gemar dengan takwim bermula Januari, ibu bapa juga gemar dengan takwim Januari, saya fikir untuk anak-anak kita bersaing pada sela masa.
“Anak-anak ada sela masa, yang lahir pada Januari atau Februari, setiap umur peringkat mereka ini ditentukan untuk bergerak, miliki pendidikan yang kita tentukan pada Januari. Kita tukar (takwim) Mac pada pandemik, kenapa nak teruskan?" soalnya kembali.

Ibu bapa dan penjaga. Setuju atau tidak takwim persekolahan akan kembali kepada Januari? Kenapa?

— Firdaus Azil (@FirdausAzil) December 25, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
BACA: KPM beri jaminan takwim persekolahan kembali ke Januari - Fadhlina
Zulfikri berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Fadhlina baru-baru ini, bahawa kementerian akan mengembalikan semula takwim persekolahan kepada Januari.
Pantau Kerajaan Baharu | Sesi persekolahan kembali semula pada Januari
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, setakat ini perbincangan ke arah itu sedang dilakukan dan akan mengambil sedikit masa kerana terdapat justifikasi yang perlu diselesaikan terlebih dahulu mengikut Akta Pendidikan 1996.
Jelas Fadhlina, buat masa ini, kementerian terikat dengan Akta Pendidikan 1996 yang memerlukan sesi persekolahan selama 190 hari setahun.
Mengulas lanjut, Zulfikri berkata, perubahan takwim kepada Mac sebelum ini, walaupun dilihatkan perlu, namun tidak dapat dinafikan ia juga mengakibatkan kesan negatif terhadap emosi bukan sahaja untuk murid, malah untuk golongan guru sendiri.
Menggunakan analogi bahawa pendidikan itu ibarat keretapi bergerak, beliau berkata, perjalanan itu terganggu apabila persekolahan secara bersemuka dihentikan, dan anak-anak terpaksa mengikuti pelajaran secara dalam talian.
“Ada golongan guru yang tak mampu mengajar dalam talian, tetapi terpaksa cari laptop, menggunakan internet, dan anak-anak terpaksa mengikuti kelas dalam talian. Akhirnya NUTP mendedahkan lebih 10,000 guru pilih untuk bersara lebih awal pasca pandemik,” katanya lagi.
Justeru Zulfikri berkata, dalam kementerian membuat persediaan untuk mengembalikan takwim kepada Januari, pihak berkenaan juga disarankan untuk melihat persediaan guru dan murid yang terjejas akibat gangguan kepada pendidikan sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
#Zulfikri Zamir #Untuk Malaysia #Kementerian Pendidikan #Takwim Persekolahan
;