Proses pengundian Parlimen Padang Serai, DUN Tioman lancar - Polis
Bernama
Disember 7, 2022 13:13 MYT
Disember 7, 2022 13:13 MYT
PUTRAJAYA: Proses pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hari ini berjalan lancar setakat ini, kata Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Hazani Ghazali.
"Tiada apa-apa masalah, rakyat Malaysia cukup matang dan berdisiplin. Setakat ini (11 pagi), tiada laporan dibuat dan sebagainya. Jumlah anggota mencukupi dan juga ada pasukan sokongan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan dan Bantuan Misi Bencana Banjir oleh 7-Eleven Malaysia kepada PDRM di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai keadaan semasa proses pengundian PRU15 di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman yang bermula 8 pagi tadi dan akan tamat pada 6 petang ini.
PRU15 di kedua-dua kawasan berkenaan ditangguhkan berikutan kematian calon yang telah disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya daripada Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli mewakili Perikatan Nasional (PN) di DUN Tioman.
PRU15 Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru dengan saingan melibatkan calon PH, Barisan Nasional (BN), PN, Pejuang, Warisan dan Bebas. Bagaimanapun, BN bersetuju memberi laluan kepada PH di kerusi Parlimen itu pada 2 Dis lepas.
DUN Tioman pula menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon BN, PN, PH, Pejuang dan seorang Bebas tetapi PH sudah menyatakan menarik diri daripada PRU berkenaan bagi tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.
-- BERNAMA