Proses penghantaran pulang pelajar menaiki pesawat bermula 1 Mei ini - Ismail Sabri

Fareez Azman
April 27, 2020 14:37 MYT
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob penghantaran pulang pelajar terbabit akan menggunakan perkhidmatan penerbangan berjadual. - Gambar fail
Proses penghantaran pulang pelajar menaiki pesawat ke Sabah dan Sarawak termasuk zon utara, zon tengah dan zon selatan di Semenanjung akan bermula 1 Mei ini.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob penghantaran pulang pelajar terbabit akan menggunakan perkhidmatan penerbangan berjadual.
"Penghantaran pulang pelajar ke Sarawak dan Sabah akan bermula 1 Mei 2020. Bagi pelajar yang berada di Terengganu dan Kelantan akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.
"Bagi pelajar yang berada di zon tengah termasuk Pahang akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA. Bagi zon utara, mereka akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Bagi zon selatan pula, pelajar akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.
#Datuk Dr Noraini Ahmad #Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob #ipta #ipts #kluster keselamatan #KPT #Menteri Kanan #Menteri Pertahanan #MKN #NADMA #pelajar #penghantaran pulang #pesawat #politeknik
;