Proses pendigitalan kendali penumpang MAHB dijangka siap menjelang 2025 - MOT
Bernama
Mac 25, 2024 20:30 MYT
Mac 25, 2024 20:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sedang melaksanakan inisiatif pendigitalan proses pengendalian penumpang bagi mengatasi isu kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata Timbalan Menteri berkenaan Datuk Hasbi Habibollah hari ini.
Beliau berkata inisiatif yang dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada 2025 itu turut meliputi pemasangan kios layan diri dan perkhidmatan bagasi layan diri secara berperingkat.
"Pada masa yang sama, kakitangan petugas juga ditambah untuk membantu penumpang menggunakan sistem pengecaman wajah, EZPaz dan mendaftar masuk bagasi, EZBagz bagi mendapatkan boarding pass (pas masuk) dan menampal tag bagasi, seterusnya membantu penumpang melakukan bag drop.
"Inisiatif ini dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan dan troli yang berselerak di kaunter daftar masuk," katanya pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.
Hasbi juga berkata sehingga kini, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM16.23 juta bagi membiayai bantuan subsidi penerbangan bersempena dengan sambutan perayaan dan FLYsiswa.
"Untuk tahun ini, kerajaan menyasarkan keperluan peruntukan sebanyak RM58 juta bagi menampung kedua-dua inisiatif berkenaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, kemudahan tandas di Lapangan Terbang Sabah dan Sarawak sedang dalam proses penambahbaikan demi memastikan ia setanding dengan piawaian tandas di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.
"Sebanyak 29 tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dikenal pasti untuk ditingkatkan dengan fasa pertama melibatkan lima set tandas dalam proses pembaikan dan dijangka siap pada September 2024. Keseluruhan penambahbaikan itu dijangka selesai sepenuhnya menjelang suku keempat 2025.
"Sementara itu, sebanyak 13 set tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dikenal pasti untuk tambah baik dan naik taraf dengan melantik kontraktor. Projek itu akan bermula suku ketiga 2024 dan dijangka siap pada suku keempat 2025," katanya.
-- BERNAMA