Proses pendakwaan berdasarkan Akta Hasutan perlu penambahbaikan

Astro Awani
November 28, 2014 13:23 MYT
KHALID: Akta Hasutan 1948 perlu penambahbaikan bagi memudahkan proses pendakwaan.
Akta Hasutan 1948 perlu penambahbaikan bagi memudahkan proses pendakwaan ke atas mereka yang mencetuskan kekacauan dalam negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Lapor Utusan Malaysia, akta tersebut perlu diperkukuhkan lagi dari segi memudahkan pihak polis mengemukakan pertuduhan terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti itu dengan segera.
“Saya mengalu-alukan pengekalan Akta Hasutan ini dalam keadaan yang mana kebebasan untuk bercakap, berusara, menulis dan pelbagai perkara lagi sudah banyak disalahgunakan. Jadi akta ini merupakan satu undang-undang yang sangat sesuai untuk menangani masalah tersebut.
“Kita juga minta beberapa bahagian (pada akta ini) diperkukukan lagi antaranya dari segi memudahkan proses pendakwaan terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan kesalahan ini,” katanya kepada akhbar itu.
Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata jaminan untuk mengekalkan Akta hasutan dapat menjaga kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua kaum dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Akta tersebut sememangnya perlu dikekalkan untuk mengekang sebarang tindakan yang boleh menggugat ketenteraman keselamatan dan menggalakkan perpercahan dalam kalangan masyarakat.
“Masyarakat juga diharap dapat menghidarkan diri daripada terjerumus dalam ruang politik kotor yang memainkan isu-isu sensitif kerana perkara tersebut boleh menimbulkan kemarahan dan kebencian antara satu sama lain,” kata Musa Hassan kepada Utusan Malaysia.
#akta hasutan #Khalid Abu Bakar #Musa Hassan
;