Proses pencalonan PRK Balakong, Seri Setia bermula 9 pagi
Bernama
Ogos 18, 2018 08:31 MYT
Ogos 18, 2018 08:31 MYT
Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Balakong dan Seri Setia akan bermula serentak pada pukul 9 pagi ini.
Penamaan calon masing-masing akan diadakan di Dewan Demense, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat bagi PRK Balakong dan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi PRK Seri Setia.
Tempoh masa untuk mengemukakan pencalonan akan berlangsung selama satu jam sehingga pukul 10 pagi, diikuti dengan pengumuman calon-calon yang bakal bertanding oleh pengawal pengurus kedua-dua PRK tersebut.
Di PRK Balakong Pakatan Harapan (PH) akan menampilkan bekas anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya Wong Siew Ki, 32, untuk mempertahankan kerusi DUN itu. Beliau juga adalah naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang.
PRK ini juga mencatat sejarah apabila MCA akan bertanding menggunakan logo partinya sendiri sejak tertubuhnya Perikatan dan Barisan Nasional dan akan mempertaruhkan ahli perniagaan dan anak tempatan, Tan Chee Teong sebagai calon mereka.
Selain PH dan MCA, Parti Rakyat Malaysia (PRM) juga dijangka akan bertanding di PRK Balakong, seperti yang diumumkan oleh presidennya Ariffin Saimon pada 5 Ogos lepas, namun siapa yang akan menjadi calonnya masih belum diketahui.
Sementara itu, bagi PRK Seri Setia, PKR pada Khamis lepas telah mengumumkan bekas Anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya Halimey Abu Bakar, 46, sebagai calon PH.
PAS, yang diberi laluan untuk bertanding oleh UMNO yang tidak meletakkan calon pada PRK Seri Setia pula mempertaruhkan bekas anggota exco kerajaan negeri Selangor yang juga bekas ADUN Selat Klang, Dr Halimah Ali, 58.
PRK Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee (PH) dalam satu kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas manakala PRK Seri Setia pula diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin dari PH akibat barah usus pada 2 Ogos lepas.
Kedua-dua PRK itu merupakan yang kedua dan ketiga sejak pilihan raya umum ke-14 yang diadakan pada 9 Mei lepas.
PRK pertama telah diadakan bagi DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos lepas. PRK Sungai Kandis dimenangi oleh calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang meraih 15,427 undi bagi dengan majoriti 5,842 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam, yang mendapat 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy (97 undi)
Kesemua pilihan raya kecil yang diadakan setakat ini adalah melibatkan kerusi DUN Selangor.
Sementara itu, laman web Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca adalah baik di kedua-dua kawasan DUN tersebut hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian dijalankan serentak pada 8 September manakala undi awal akan diadakan pada 4 Sept.
-- BERNAMA
#BALAKONG
#Barisan Nasional
#calon
#DAP
#Dewan Undangan Negeri
#DUN
#MCA
#Pakatan Harapan
#PAS
#penamaan calon
#pilihan raya kecil
#PKR
#PRK
#PRU14
#seri setia
#UMNO