Proses pelbagai jenis dadah: Lima wanita, 10 lelaki ditahan

Bernama
Januari 7, 2022 20:49 MYT
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai (depan, kanan) bersama pegawai yang bertugas menunjukkan barang rampasan yang disyaki dadah pelbagai jenis, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lima wanita antara 15 warga tempatan yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti menjual dan memproses pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM300,000 di sekitar ibu kota, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata suspek berusia lingkungan 25 hingga 65 tahun itu ditahan dalam empat serbuan di Jalan Ipoh, Jinjang, Jalan Kuching dan Cheras Awana.
Beliau berkata antara lain, polis merampas lebih 5 kilogram serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), kanabis seberat 745.69 gram (g), pil eramin 5 (173.64 g), pil ekstasi (30.42 g), ketamin (0.99 g) dan syabu (0.94 g).
"Turut ditemukan makmal mini pemprosesan dadah di sebuah rumah teres dua tingkat di sekitar kawasan Jalan Ipoh.
"Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati lapan daripada mereka yang ditahan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol dan Ketamin serta tiga lagi mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah," katanya
Beh berkata mereka ditahan reman selama tujuh hari hingga 11 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti ahli sindiket yang terlibat sebagai sumber bekalan," katanya.
-- BERNAMA
#pelbagai jenis dadah #Polis Daerah Sentul #Dadah #Ketamin #kanabis #Syabu #Jalan Ipoh #Akta Dadah Berbahaya 1952
;