Proses naik taraf Stesen Bas Kulim bermula Februari 2018
Bernama
Disember 28, 2017 06:40 MYT
Disember 28, 2017 06:40 MYT
Kerja-kerja menaik taraf stesen bas Kulim yang bernilai RM2.5 juta dekat sini akan bermula menjelang Februari depan dan dijangka siap dalam tempoh setahun.
Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) Ir Muhamad Tarmymy Che Ani berkata, projek naik taraf itu akan melibatkan terminal mengambil dan menurunkan penumpang, parkir bas, ruang menunggu, kaunter tiket, medan selera dan stesen teksi.
"Untuk itu, kerja-kerja meroboh terminal lama dan sebagainya akan dilakukan secara berperingkat kerana tidak mahu menganggu dan menjejaskan operasi bas dan perniagaan yang ada di kawasan tersebut, " katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Stesen bas itu mula beroperasi di lokasi sekarang pada tahun 2000 apabila stesen bas lama di kawasan yang kini dikenali sebagai Pusat Perniagaan Kulim ditutup bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.
Tambahnya, projek naik taraf itu nanti mampu memuatkan sehingga 22 buah bas dalam satu masa dengan lapan terminal mengambil dan menurunkan penumpang.
Di samping itu, sebanyak 26 kaunter tiket yang berciri mesra pelanggan juga akan dibina termasuk ruang menunggu berbumbung.
"Sebagai permulaan, pihak kami sedang menyiapkan tapak perniagaan sementara berhampiran Pejabat Penerangan.
"Ini bertujuan memindahkan peniaga yang beroperasi di medan selera di stesen bas itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan," katanya.
Dalam pada itu, dua gerai berkonsep 'food bus static' akan beroperasi di stesen bas berkenaan apabila semuanya siap dibina nanti.
"Kita akan letakkan dua bas lama yang dicat semuIa untuk dijadikan gerai jualan yang akan ditentukan kemudian.
"Kami yakin ia akan menambah nilai dan kaedah terbaik dalam menghidupkan semula stesen bas ini di samping menarik kunjungan orang ramai," katanya.
-- BERNAMA
#Astro Awani
#kos naik taraf
#kos stesen bas kulim
#Majlis Perbandaran Kulim
#Muhamad Tarmymy Che Ani
#naik taraf
#Pusat Perniagaan Kulim
#Stesen Bas Kulim