Proses mewartakan tiga pulau sebagai Taman Laut Melaka kini di peringkat akhir
Bernama
Julai 24, 2022 16:36 MYT
Julai 24, 2022 16:36 MYT
MELAKA: Tiga pulau di Melaka yang dicadang untuk diwartakan sebagai Taman Laut, kini di peringkat akhir proses pewartaan dan ia dijangka selesai akhir tahun ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah.
Beliau berkata proses pewartaan Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol mengikut Seksyen 41 Akta Perikanan 1985 (Akta 317) telah dibawa ke peringkat Persekutuan selepas perkara itu mendapat kelulusan kerajaan negeri, baru-baru ini.
"Pewartaan tiga Taman Laut Melaka ini agak mengambil masa kerana ia melibatkan pelbagai proses dan undang-undang yang perlu dilalui, namun kini sudah berada di peringkat akhir.
"Pewartaan ini penting untuk menjamin kelestarian sumber perikanan dan kepelbagaian biodiversiti marin di sekitar kawasan tersebut selain menjadikan Taman Laut Melaka sebagai kawasan perlindungan khas flora dan fauna akuatik," katanya kepada pemberita selepas Program Melabuhkan Tukun Tiruan Konkrit di Perairan Pulau Nangka di sini hari ini.
Turut hadir Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Perikanan Mohd Sufian Sulaiman.
Ahmad berkata selain itu, tiga Taman Laut Melaka berkenaan berpotensi menjadi produk pelancongan baharu untuk negeri itu memandangkan pulau berkenaan memiliki lebih 150 spesies terumbu karang dan hidupan marin.
Beliau berkata bagi merealisasikan pembangunan Taman Laut Melaka, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan lebih RM1 juta untuk melaksanakan pelbagai projek infrastruktur dan pemeliharaan ekosistem antaranya pemasangan boya di Pulau Undan dan pembinaan jeti terapung di Pulau Nangka.
Katanya selain itu, sebanyak 66 tukun tiruan konservasi bernilai RM1.2 juta dilabuhkan di perairan Pulau Besar dan Pulau Nangka sejak 2008 dengan sembilan daripadanya dilabuhkan hari ini di Pulau Nangka.
"Tukun tiruan berkenaan dilabuhkan ke dasar laut untuk menambah kepadatan sumber perikanan setempat kerana dalam tempoh tertentu, tukun berkenaan akan berubah menjadi habitat yang sesuai untuk perlindungan dan pembiakan pelbagai jenis flora dan fauna marin," katanya.
Beliau berkata selain itu, sebanyak 23 rak propagansi karang juga telah dilabuhkan di Pulau Undan dan Jabatan Perikanan turut mengadakan aktiviti pelepasan ikan terumbu karang bagi menambah lagi stok ikan marin di perairan Melaka.
Katanya antara spesies ikan marin yang dilepaskan adalah Red Ocellaris, Sargent Major, Six Line Barred Anglefish, Maroon Clownfish dan Tomato Clownfish.
-- BERNAMA