Proses merakam keterangan Tan Sri Apandi tidak berlangsung di Bukit Aman
Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 1, 2022 15:20 MYT
Ogos 1, 2022 15:20 MYT
KUALA LUMPUR : Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang sepatutnya memberi keterangan selepas dipanggil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini tidak berlangsung seperti yang dijadualkan.
Petugas media yang awal-awal lagi berkumpul bagi merakamkan kelibat Apandi di pekarangan lokasi terbabit bagaimanapun hampa selepas dimaklumkan beliau tidak akan memberi keterangan di Bukit Aman oleh pihak PDRM.
Beliau sepatutnya dijadualkan hadir ke Bukit Aman hari ini jam 2.30 petang bagi menjalani proses tersebut.
Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat setakat ini tentang di mana dan bila beliau akan merekodkan keterangan kepada pihak USJT.
Apandi dipanggil oleh USJT untuk dirakam keterangan berkaitan kes melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan.
Ia susulan laporan Polis yang dibuat oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago terhadap Apandi 27 Julai lalu di Balai Polis Klang Selatan.
PDRM kemudianya mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap Apandi berhubung laporan berkenaan.
Dalam laporan yang dibuat, Charles meminta polis agar menyiasat Apandi Ali atas dakwaan menyalahgunakan kuasanya untuk menutup siasatan pihak berkuasa terhadap 1MDB.
Ia berikutan keputusan penolakan Mahkamah Tinggi sebelum itu terhadap saman fitnah yang difailkan Apandi terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang.
Apandi sebelum ini mengambil tindakan menyaman Kit Siang yang mendakwa beliau menyalahgunakan kuasanya untuk menutup siasatan ke atas 1MDB dan wang yang dipindahkan ke akaun bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Najib sebelum ini disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Ahli Parlimen Pekan itu sedang menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.