Proses lombong REE di Kelantan lewat kerana berada dalam hutan simpan
Bernama
November 25, 2024 18:25 MYT
November 25, 2024 18:25 MYT
KOTA BHARU: Taburan mineral unsur nadir bumi (REE) dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) antara yang menyebabkan berlaku kelewatan proses perlombongan hasil bumi itu di Kelantan, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan.
Mohamed Fadzli berkata berdasarkan Akta Perhutanan Negara 1984, perlombongan tidak boleh dijalankan di dalam HSK, melainkan ia diwartakan keluar terlebih dahulu.
"Selain itu, kita juga perlu melalui pelaksanaan moratorium eksport bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) oleh kerajaan Persekutuan di samping proses Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
"Kajian ini penting bagi memastikan perlombongan tidak merosakkan ekosistem dan proses yang panjang ini menyebabkan kelewatan bagi mendapatkan kelulusan projek," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Rodzi Jaafar (PAS-Gaal) mengenai faktor kelewatan proses perlombongan REE di Kelantan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dan menyediakan prosedur operasi standard melibatkan Jabatan Mineral dan Geosains bagi tujuan itu.
"Hal ini bagi memastikan ia berjalan mengikut peraturan, tidak memberi kemudaratan kepada alam sekitar, dan pada masa sama memberi manfaat yang tinggi kepada rakyat dan negeri," katanya.
Ketika menjawab soalan tambahan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai model perniagaan yang akan digunakan bagi proses perlombongan REE, Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri sudah menjalankan libat urus bersama agensi kerajaan Persekutuan bagi tujuan itu.
"Kaedah perlombongan REE memerlukan proses yang ketat dan pemantauan terutama impak kepada alam sekitar.
"Kelantan akan bekerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan syarikat yang telah terbukti dari segi kemampuan untuk mengurus proses berkenaan," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Hadi Awang Kechil (PAS-Kuala Balah) mengenai status makmal geokimia di Kelantan, Mohamed Fadzli berkata kemudahan yang diwujudkan di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa itu hampir siap dibina, dan boleh digunakan sepenuhnya dalam tempoh beberapa bulan lagi.
-- BERNAMA