Proses kemasukan pekerja asing sektor pembersihan, pencucian dibekukan
Umavathi Ramayah
November 25, 2023 20:08 MYT
November 25, 2023 20:08 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk membekukan proses kemasukan pekerja asing bagi sub sektor pembersihan dan pencucian.
Perkara itu diputuskan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing kali Ke-8 memandangkan lebih daripada separuh para pekerja asing terabai yang diselamatkan adalah dari sektor tersebut.
Pada masa sama, kenyataan yang dikeluarkan KSM itu berkata, permohonan kuota yang telah diluluskan sebelum ini turut diarahkan untuk disemak semula.
"Arahan semakan itu bukan sahaja melibatkan sub sektor pembersihan dan pencucian sebaliknya semua sektor dan sub sektor yang lain," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, Kementerian Sumber Manusia sentiasa cakna akan senario perburuhan negara dan tidak akan sesekali berkompromi dengan amalan buruh paksa.
"Tidak dinafikan bahawa pada tahun ini negara dikejutkan dengan isu berkaitan pekerja asing yang dibawa masuk secara sah ke dalam negara tetapi tidak diberikan sebarang pekerjaan yang akhirnya menyebabkan mereka terabai.
"KSM bersama kementerian berkaitan selain jabatan dan agensi di bawahnya akan terus mempergiat pelaksanaan operasi dan penguatkuasaan selaras dengan perundangan di bawah bidang kuasa yang diperuntukkan," ujar kenyataan iti.
Katanya, KSM yakin melalui peningkatan operasi dan penguatkuasaan berterusan akan dapat memastikan industri perburuhan negara bebas daripada isu pekerja terabai dan seterusnya menghapuskan sebarang kegiatan yang membawa kepada buruh paksa.
Menurutnya, penguatkuasaan dan operasi yang dilakukan oleh KSM juga merupakan mekanisme untuk memantau isu pekerja asing terabai dan memastikan kegiatan buruh paksa dihapuskan.
Dalam pada itu, kata kenyataan itu, KSM mengambil tindakan bukan sahaja dengan menyelamatkan para pekerja asing tersebut sebaliknya turut melaksanakan proses pertukaran majikan.
"Selepas para pekerja ini diselamatkan dan ditempatkan di Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ).
"Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JTKS) selanjutnya melaksanakan proses pindah majikan di bawah Mesyuarat Permohonan Pertukaran Majikan Khas yang keanggotaannya melibatkan Bahagian Pengurusan Pekerja Asing (BPPA), Agensi Kawal Selia (AKS), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Imigresen dan JTKS sendiri.
Sehingga 9 November lalu katanya, sejumlah 1,058 pekerja asing terabai berjaya mendapat penempatan pekerjaan dengan majikan baharu.
Menurut kenyataan itu, KSM turut mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang terbabit di bawah Akta Kerja 1955 dan juga Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].