Proses e-penempatan pada 25-27 Mac dibatalkan, tarikh baharu akan diumum - KKM
Hasimi Muhamad
Mac 17, 2025 15:34 MYT
Mac 17, 2025 15:34 MYT
Dr Muhammad Radzi berkata, penangguhan tersebut sekali lagi terpaksa dibuat kerana mengambil kira isu gangguan teknikal yang serius dan penambahbaikan dalam proses serta infrastruktur - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Proses e-penempatan melibatkan 2,245 pegawai perubatan yang dijadual pada 25 Mac hingga 27 Mac ini dibatalkan dan ditangguhkan ke satu tarikh baharu, yang akan diumumkan kelak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, penangguhan tersebut sekali lagi terpaksa dibuat kerana mengambil kira isu gangguan teknikal yang serius dan penambahbaikan dalam proses serta infrastruktur.
"Namun selepas membuat beberapa simulasi dan penelitian, ia tidak dapat menawarkan proses dan keputusan pemilihan penempatan yang adil kepada semua pihak.
"Justeru, tarikh permohonan baharu yang telah dimaklumkan melalui emel calon iaitu pada 25 Mac, 26 Mac dan 27 Mac adalah dibatalkan dan ditangguhkan ke satu tarikh baharu, yang akan diumumkan kelak," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.
Jelas Dr. Muhammad Radzi, penangguhan proses penempatan tersebut akan turut melibatkan kohort seterusnya yang dijadualkan pada Mei ini.
Katanya lagi, sistem pemilihan sedia ada yang menggunakan kaedah 'first-come, first-served' akan digantikan dengan sistem yang lebih telus dan adil, berasaskan merit serta memenuhi penawaran dan permintaan.
Ujar beliau, KKM dijangka membuka semula permohonan dalam masa enam hingga lapan minggu bagi membolehkan sistem baharu dimuktamadkan dan diuji kemampanannya sebelum ia dilaksanakan.
"KKM akan terus memaklumkan mengenai sistem ePlacement 2.0 termasuk garis panduan dan bilangan data kekosongan dari semasa ke semasa.
"KKM berharap sistem ini digunakan dengan beretika dan bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang gangguan yang menjejaskan ketelusan dalam proses pemilihan," menurutnya.
Dr. Muhammad Radzi menambah, sebanyak 50 peratus kekosongan sedia ada ketika ini adalah di Sabah dan Sarawak.
Dalam sama sama, KKM juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pegawai perubatan yang terlibat bagi menerangkan dengan lebih terperinci mengenai isu sistem ePlacement.
Pada 27 Februari 2025, doktor-doktor kontrak telah menjalani proses e-penempatan dan melapor diri ke Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) masing-masing.
Namun pada 6 Mac 2025, mereka dimaklumkan bahawa ia dibatalkan tanpa sebarang penjelasan.
Bagaimanapun pada 17 Mac 2025, mereka sekali lagi diberitahu bahawa e-penempatan akan dijadualkan semula.
Kurang dua hari sebelum tarikh baharu, pada jam 11.45 malam, kumpulan doktor kontrak menerima satu lagi emel yang menyatakan e-penempatan ditangguhkan lagi ke 25 hingga 27 Mac.