Proses disinfeksi di pasar berbangunan DBKL pada 18 hingga 21 Mei
Astro Awani
Mei 17, 2020 23:43 MYT
Mei 17, 2020 23:43 MYT
Kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 akan terus dijalankan di semua pasar berbangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dalam satu notis arahan yang dikeluarkan DBKL, orang ramai dikehendaki mengosongkan gerai daripada barangan jualan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, ikan dan lain-lain barang.
“Pihak DBKL tidak akan bertanggungjawab sekiranya barang-barang penjual rosak akibat kerja-kerja tersebut,” jelasnya.
Notis yang tular di media sosial menunjukkan Pasar Besar TTDI akan menjalani proses tersebut pada 18 Mei 2020 (Isnin) dan 21 Mei 2020 (Khamis) bermula 8 pagi hingga 12 malam.
Sebelum ini pelaksanaan Ops Bersih dan Diinfeksi wabak COVID-19 sudah dilakukan di 19 pasar awam di kawasan Kuala Lumpur.