Proses cuci bahan kimia dijangka ambil masa seminggu - MB Johor

Fareez Azman
Mac 13, 2019 23:16 MYT
Osman menjangkakan langkah mencuci bahan kimia di beberapa lokasi di Sungai Kim Kim itu akan mengambil masa seminggu.
Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian menegaskan kerja-kerja mencuci bahan kimia yang tercemar di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang akan dijalankan malam ini.
Menurut beliau, ia bagi memastikan tindakan neutralisasi diambil dalam mengurangkan kesan tercemar yang semakin serius.
“Agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), KPM dan agensi jawatankuasa akan beroperasi 24 jam tanpa henti memantau dan memastikan pencemaran berada pada tahap kawalan telah diaktifkan.
“Ini untuk memastikan agar langkah segera dapat diambil, kita akan lakukan secepat mungkin kerana ini danger zone (zon bahaya),” kata Osman.
Beliau menjangkakan langkah mencuci bahan kimia di beberapa lokasi di Sungai Kim Kim itu akan mengambil masa seminggu.
Bagaimanapun ujarnya, ia bergantung kepada keadaan cuaca kerana jika keadaan hujan akan menyukarkan kerja-kerja terbabit dijalankan.
Dalam sidang media yang sama Osman mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga jaga dengan mengenakan topeng muka R-95.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sidang media di Menara Arqabah pada Rabu selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bencana negeri berkenaan pencemaran kimia di Sungai Kim Kim.
#Bencana Kim Kim #mencuci bahan kimia #Menteri Besar Johor #Osman Sapian #pencemaran kimia #pencemaran sungai #pray for pasir gudang #Sungai Kim Kim
;