Proses bedah siasat mangsa nahas helikopter Melawati selesai
Fauzi Suhaimi
November 9, 2020 11:40 MYT
November 9, 2020 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Proses bedah siasat mangsa nahas helikopter, Allahyarham Kolonel (B) Mohd Sabri Baharon, 56, selesai dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Jenazah telah diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan dibawa ke Masjid Khalid Al-Walid, Jalan Padang Tembak, di sini untuk dikafan dan disolat.
Astro AWANI difahamkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Sementara itu, jenazah Allahyarham Mohd Irfan Mohamed Rawi, 41, bagaimanapun masih lagi dalam proses bedah siasat.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Surau Al Ikhwan, Taman Puncak Jalil untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di USJ22, Subang.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, dua buah helikopter (9M-HCA dan 9M-HCB) jenis G2CA yang berlepas dari Lapangan Terbang Subang Jaya ke Genting Sempah itu disahkan bertembung di udara sebelum salah sebuahnya terhempas di Taman Melawati, Hulu Kelang.
#nahas helikopter
#Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah
#Mohd Sabri Baharon
#Mohd Irfan Mohamed Rawi
#9M-HCA
#9M-HCB
#Surau Al Ikhwan