Proses bedah siasat kedua-dua mangsa tanah runtuh Tambun selesai
Abd Razak Mohd Ali
November 11, 2020 12:46 MYT
November 11, 2020 12:46 MYT
IPOH: Mayat dua mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Banjaran Hotsprings Retreat, Tambun, Perak awal pagi Selasa telah dituntut anggota keluarga masing-masing pagi Rabu.
Proses bedah siasat kedua-dua mayat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini selesai sekitar pukul 10.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mayat Ooi Chee Wei, 39, dicam oleh isterinya, manakala Lee Tze Juin, 32, dicam oleh adik perempuannya.
"Untuk makluman kedua-duanya dari Kuala Lumpur. Mangsa lelaki merupakan pegawai di sebuah syarikat minyak dan gas, manakala mangsa wanita pula seorang ejen hartanah.
"Kita klasifikasi kes ni sebagai mati mengejut dan untuk makluman daripada bedah siasat itu memang ternyata kebanyakan kecederaan berpunca daripada terhempap oleh dinding tembok dan tanah, menyebabkan badan mangsa mengalami kecederaan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB Ipoh pada Rabu.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dikatakan baru tiba di Ipoh pada hari kejadian dan dipercayai atas urusan kerja.
Dalam kejadian sekitar pukul 1 pagi Selasa, bahagian belakang sebuah villa di resort eksklusif itu dihempap tanah runtuh yang dipercayai ekoran hujan berterusan sejak malam sebelumnya.
Pasukan penyelamat menemukan mangsa lelaki pada 9.55 pagi disusuli mayat wanita beberapa minit kemudian.
#tanah runtuh
#Ipoh
#mangsa
#mayat
#mati
#wanita
#lelaki
#keluarga
#polis
#bedah siasat
#A Asmadi Abdul Aziz
#urusan kerja
#hujan