Proses ambil keterangan Mohd Khairuddin ditunda esok
Astro Awani
Ogos 26, 2020 17:06 MYT
Ogos 26, 2020 17:06 MYT
Proses mengambil keterangan dari Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ditunda pada Khamis.
Perkara itu dimaklumkan oleh wakil dari unit komunikasi korporat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu.
Bagaimanapun perinciannya tidak didedahkan.
Terdahulu, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis akan memanggil Mohd Khairuddin bagi membantu siasatan selepas 27 laporan polis diterima susulan kegagalan beliau mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada 7 Julai lalu.
Sampel ujian calitan kali pertama beliau telah diambil pada hari sama dan didapati negatif.
Ujian saringan COVID-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif.
Susulan itu juga, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Pas dikritik banyak pihak kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa, terutama mengingkari arahan kuarantin wajib 14 hari bagi mana-mana warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara.
Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini mengeluarkan kompaun RM1,000 ke atas Mohd Khairuddin setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
#Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
#Kementerian Kesihatan
#Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
#PAS
#Turki
#ujian saringan