Prosedur, sistem komunikasi di lapangan terbang boleh ditambah baik - Loke

Bernama
Julai 23, 2024 14:41 MYT
Loke berkata gangguan itu merupakan sesuatu di luar jangkaan selain turut memberi kesan kepada beberapa sektor lain. - Gambar fail/Bernama
NILAI: Susulan masalah kelewatan penerbangan minggu lepas yang berpunca daripada gangguan sistem teknologi maklumat (IT), beberapa perkara berkaitan prosedur dan sistem komunikasi di lapangan terbang dilihat boleh ditambah baik.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata gangguan itu merupakan sesuatu di luar jangkaan selain turut memberi kesan kepada beberapa sektor lain.
"Lapangan terbang mereka terpaksa daftar masuk melalui manual, ia mengambil masa, apabila satu penerbangan terlewat, ia akan bagi impak kepada banyak penerbangan, saya rasa perkara ini boleh ditambah baik dari segi prosedur dan sistem komunikasi," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Permotoran di Sekolah Menengah Kebangsaan Mantin, Nilai di sini hari ini.
Loke berkata gangguan IT itu turut menjejaskan beberapa syarikat penerbangan negara lain yang terpaksa membatalkan penerbangan berikutan masalah tidak diduga itu.
Beliau berkata pengguna yang mempunyai masalah berkaitan perkhidmatan penerbangan diminta membuat aduan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).
"Saya memahami bahawa pelanggan memang tidak puas hati kalau kelewatan, tetapi pada masa yang sama kena juga lihat keseimbangannya, syarikat penerbangan perlu mengambil kira tentang keselamatan, jika mereka tidak patuhi keadaan akan menjadi lebih teruk.
"Aspek keselamatan penumpang adalah keutamaan, kita tidak boleh kompromi jika berlaku sebarang insiden siapa yang hendak bertanggungjawab? Lebih baik dimarahi daripada kita mengkompromikan keselamatan, itu yang saya harap semua pihak faham," katanya.
Dalam majlis hari ini Loke berkata TVET menjadi pemacu utama dan pengubah keadaan dalam usaha melahirkan tenaga mahir tempatan dalam industri berteknologi tinggi.
Beliau berkata selaras dengan itu, program berkenaan diharap dapat mempromosi dan memberikan kesedaran tentang kepentingan TVET dalam pendidikan kepada pelajar sekolah, mahasiswa, warga pendidik, ibu bapa dan masyarakat setempat.
-- BERNAMA
#mavcom #lapangan terbang #TVET #warga pendidik