Prosedur perubatan Tun Mahathir berjalan lancar - IJN

Astro Awani
Januari 9, 2022 13:41 MYT
Tun Dr Mahathir dilaporkan berada dalam keadaan yang baik, telah sedar sepenuhnya dan bersemangat tinggi. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selesai menjalani prosedur perubatan semalam (Sabtu).
Institut Jantung Negara (IJN) dalam satu kenyataan memaklumkan, prosedur tersebut dilakukan oleh sekumpulan doktor dari IJN serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Prosedur berkenaan, jelas IJN, berjalan tanpa sebarang masalah dan seperti dirancang.
"Dr Mahathir kini dalam keadaan yang baik, telah sedar sepenuhnya dan bersemangat tinggi.
"Berdasarkan perkembangan klinikal semasa, beliau dijangka keluar dari IJN dalam beberapa hari lagi," memetik kenyataan itu.
Dalam masa sama, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali merakamkan penghargaan kepada semua ucapan, keprihatinan dan doa daripada orang ramai.
Pada Jumaat, Ahli Parlimen Langkawi itu dimasukkan ke IJN bagi menjalani prosedur perubatan elektif.
Tiada pelawat dibenarkan untuk melawat beliau seperti yang ditetapkan oleh prosedur operasi standard (SOP) terkini IJN.
#Mahathir Mohamad #Institut Jantung Negara #prosedur perubatan #Tun M masuk hospital
;