Prosedur permohonan TOL: Mohon dulu baru teroka - Saarani

Bernama
Julai 11, 2024 10:50 MYT
Saarani menjawab soalan pada sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Kedua Tahun Kedua Dewan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. --fotoBERNAMA
IPOH: Tidak benar perlu teroka dahulu tanah kerajaan sebelum memohon Lesen Pendudukan Sementara (TOL) untuk aktiviti pertanian, kata Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad.
Saarani berkata adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang individu meneroka tanah milik kerajaan tanpa kebenaran.
"Tidak betul, kalau ada yang kata kena teroka dulu, baru mohon (TOL) dengan Pejabat Tanah (Pejabat Tanah dan Galian), kena mohon dahulu baru teroka tanah itu," katanya ketika menjawab soalan pada sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Noor Azman Ghazali (PN-Alor Pongsu) yang mahu tahu prosedur permohonan TOL bagi meneroka tanah kerajaan untuk aktiviti pertanian bertujuan membantu keterjaminan makanan negeri.
Noor Azman berkata terdapat kes petani telah meneroka terlebih dahulu tanah sebelum memohon TOL.
Menjawab lanjut, Saarani mengakui memang terdapat kes teroka terlebih dahulu, namun permohonan TOL biasanya diluluskan, tetapi petani tersebut akan dikenakan denda.
Sementara itu, menjawab soalan asal Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu) yang mahu tahu sama ada kerajaan negeri memudah dan mempercepat permohonan TOL, Saarani berkata tempoh pertimbangan kelulusan semua jenis tanah bagi kategori TOL, Pemberian Hak Milik atau Pajakan Tanah Rizab bergantung kepada penyediaan dokumen yang lengkap selain tertakluk laporan tanah serta ulasan agensi teknikal mengikut maksud permohonan dikemukakan.
"Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak juga sentiasa menambahbaik urusan memproses permohonan pelupusan tanah yang lebih cepat iaitu melibatkan pemendekan proses di dalam sistem e-Tanah untuk diaplikasikan di semua Pentadbiran Tanah Negeri Perak.
"Langkah ini dapat memastikan urusan pelupusan tanah disegerakan dalam mencapai objektif Dasar Sekuriti Makanan di negeri Perak," katanya.
-- BERNAMA
#Saarani Mohamad #DUN Perak #Lesen Pendudukan Sementara #tanah kerajaan
;