Prosedur keluar masuk negara perlu dipermudahkan - Khairy

Eton Khir
September 20, 2021 23:32 MYT
Khairy Jamaluddin berkata Kementerian Kesihatan (KKM) meminta Jabatan Imigresen melihat kembali keperluan permohonan MTP bagi membenarkan dan memudahkan urusan rakyat Malaysia ke luar negara. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Prosedur keluar masuk ke Malaysia khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu dipermudahkan sebagai persediaan membuka semula sempadan negara.
Tanpa berkompromi dengan aspek keselamatan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, antara strategi yang boleh dicontohi dari negara luar ialah dengan mengurangkan syarat tertentu, termasuk tidak lagi perlu membuat permohonan MyTravelPass (MTP) bagi kebenaran ke luar negara.
Tambahnya lagi, Jawatankuasa Pengurusan Pandemik COVID-19 akan meneliti semula prosedur yang boleh dipermudahkan, sama ada melalui aplikasi MySejahtera termasuk mengurangkan stesen untuk semakan kemasukan di KLIA.
“Penerbangan antarabangsa akan meningkat dari semasa ke semasa, apabila melihat syarat-syarat untuk ke luar negara, (harap) dapat dikurangkan. Sebagai contoh di United Kingdom baru-baru ini telah mengumumkan tiada lagi keperluan kuarantin bagi warga Malaysia yang lengkap vaksinasi jenis Pfizer dan AstraZeneca.
“Perkara ini akan mendorong lebih ramai lagi warga negara kita ke luar negara atas urusan tertentu,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemeriksaan Kesihatan COVID-19 di KLIA, pada Isnin.
Kuarantin Wajib | Portal permohonan kuarantin wajib bermula Selasa
Pada masa sama, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut meminta Jabatan Imigresen melihat kembali keperluan permohonan MTP bagi membenarkan dan memudahkan urusan rakyat Malaysia ke luar negara.
Ujarnya lagi, kerjasama dengan pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan dilakukan untuk mengkaji proses yang lebih efisien dan selamat bagi mereka yang ingin memasuki negara ini
“Saya mendapati banyak sangat stesen yang perlu pengisian borang yang sebenarnya boleh dipermudahkan. Contohnya pada hari ini, sebuah penerbangan mendarat dari Qatar dengan membawa penumpang 94 orang tanpa ada masalah kesesakan.
"Namun bayangkan sekiranya kita membenarkan lebih banyak lagi penerbangan mendarat. Perkara ini (stesen yang banyak) dikhuatiri dan dijangka akan berlaku kesesakan yang kita tidak mahu” katanya.
#COVID-19 #Khairy Jamaluddin #MyTravelPass #KLIA
;