Promosi pakej durian rancak semula industri pelancongan, ekonomi

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 15, 2022 04:45 MYT
Tourism Malaysia menganjurkan Program Pakej Durian sebagai salah satu usaha merancakkan semula aktiviti dan promosi pelancongan domestik yang sekali gus dapat menjana ekonomi penduduk serta pemain industri di negara ini. - Astro AWANI
GEORGE TOWN: Tourism Malaysia menganjurkan Program Pakej Durian sebagai salah satu usaha merancakkan semula aktiviti dan promosi pelancongan domestik yang sekali gus dapat menjana ekonomi penduduk serta pemain industri di negara ini.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata, usaha itu dilakukan menerusi program Kempen Pakej Durian Tourism Promosi Diskaun 10 peratus yang bermula dari 1 Julai sehingga 31 Ogos ini .
Zainuddin berkata, pihaknya menyasarkan penjualan kira-kira 500 hingga 600 Pakej Durian Tourism kepada para pengusaha yang menyertai program berkenaan dengan pulangan lebih RM100,000.
"Sebagaimana yang kita sedia maklum, dalam, ada pakej-pakej baru yang telah dibangunkan oleh Tourism Malaysia dalam usaha membantu pemain industri, ia bukan saja melibatkan pengusaha pelancongan tetapi pemain industri yang lain seperti pengusaha homestay.
"Selain itu, kita juga membantu pengusaha dengan mempakejkan bukan saja untuk pasaran domestik tetapi juga pasaran serantau," katanya.
Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, bagi menjayakan program tersebut, Tourism Malaysia telah menjalinkan kerjasama dengan lima pengusaha pelancongan dalam membangunkan pakej-pakej durian yang menggabungkan elemen eko pelancongan, agro pelancongan, arkeo pelancongan dan pengembaraan lasak.
Lima pengusaha pelancongan yang terlibat adalah Kurma Travel and Tours Sdn Bhd, Adventure 360 Tours Sdn Bhd, Time Free Vacation Sdn Bhd, M Maha-Izah Transport and Tours Sdn Bhd dan Asia Gateway Tours.
Beliau berkata, pihak Tourism Malaysia sentiasa bersedia membantu mempromosikan pakej-pakej seumpamanya bagi memberikan manfaat kepada para pelancong serta pemain industri pelancongan terlibat.
Antara pakej yang ditawarkan termasuk Pakej 2 Hari 1 Malam (2H1M) bermula dari RM290 seorang dan Pakej 3 Hari 2 Malam (3H2M) bermula dari RM388 seorang dengan tempahan minimum empat orang bagi setiap pakej.
"Kita sedia maklum, pakej durian bukanlah sesuatu yang baru, sebenarnya daripada dulu kita telah berjaya menjual durian ke pasaran antarabangsa dan menerima sambutan yang amat baik daripada Singapura, Hong Kong, China dan Jepun.
"Jadi, dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa kita kembali hidupkan pakej durian semoga menjadi satu tarikan kepada pelancong untuk datang ke Malaysia," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Pakej Durian Tourism 2022 di Hin Bus Depo, di George Town pada Jumaat.
#Tourism Malaysia #Program Pakej Durian #pelancongan #ekonomi
;