Promosi industri pelancongan Sandakan perlu dipergiat

Harits Asyraf Hasnan
Mei 1, 2019 17:11 MYT
Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok menjadi antara destinasi pelancongan wajib buat para pelancong sekiranya ke Sandakan. Astro AWANI/HARITS ASYRAF
Pelancongan adalah sumber kedua terbesar yang menyumbang kepada ekonomi di Sandakan yang merupakan bandar raya kedua terbesar di negeri Sabah.
Namun, keputusan kerajaan Amerika Syarikat memperbaharui nasihat perjalanannya dengan meletakkan Malaysia antara 35 negara yang berdepan risiko penculikan dan tebusan dilihat sedikit sebanyak memberi impak kepada sektor pelancongan terutama di Pantai Timur Sabah.
Perkara itu menjadi cerminan buat para pengusaha rumah inap di daerah itu yang menagih kemasukan pelancong dari dalam dan luar negara.
Pengusaha rumah inap, Dahlan Yamma mengharapkan promosi pelancongan di Sandakan dipergiat, sekali gus memulihkan semula keyakinan pelancong terhadap kepelbagaian destinasi pelancongan yang ada.
“Bagi saya, apa yang penting adalah mempromosi Sandakan ini sebab kita ada pelbagai produk pelancongan. Kalau tidak ada promosi, orang tidak akan tahu.
“Kalau buat promosi, kerajaan boleh jaringkannya dengan pengusaha rumah ini. Jadi paling penting adalah promosi untuk pastikan pelancong tahu apa yang ada di Sandakan ini,” katanya kepada Astro AWANI.
Ujarnya, buat masa ini beliau dan rakan-rakan pengusaha rumah inap yang lain menggunakan media sosial bukan sahaja untuk menawarkan perkhidmatan rumah inap, malah mempromosi pelancongan di Sandakan.
“Atas inisiatif kita sendiri dengan membuat promosi melalui sosial media sahaja. Kalau ramai yang kenal maka ramai yang akan datang di Sandakan.
“Sekali gus kita juga boleh tawarkan produk pelancongan yang ada, di mana ramai yang datang ke sini ingin menikmati makanan laut kerana murah dan banyak restoran,” ujarnya.
Sementara itu, bagi para pelancong pula, mereka menyifatkan keindahan flora, fauna dan pulau-pulau di Sabah memadai untuk menggamit kedatangan mereka ke Negeri Di Bawah Bayu itu.
“Saya baru sampai di sini kurang daripada 24 jam dan ia sangat menarik dan saya paling suka adalah orang utan.
“Banyak orang utan di sini. Semalam bila kami sampai, tiada. Tapi hari ini ada dalam lima hingga enam ekor di tempat pemberian makanan,” kata John Davies yang bercuti bersama keluarganya.
Sementara itu, isterinya, Mel Davies menyifatkan Malaysia berjaya mengimbangi pembangunan dan alam sekitar dengan baik.
“Apa yang saya nampak, semuanya dijaga dengan baik. Malah akses di Sandakan ini juga senang termasuk untuk orang kurang upaya.
"Ini sekali gus menunjukkan yang pembangunan dibuat dengan mapan dan hidupan liar dijaga dengan baik,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelancong, Robert Peel berharap kelestarian alam dan pembangunan di Sabah, terutamanya di Sandakan, dapat diseimbangkan terutama untuk generasi akan datang.
“Bagi saya, ia sangat menarik. Orangnya juga baik hati dan kalau nak tengok orang utan, mesti kena datang ke sini. Amat menarik.
"Mereka telah buat yang terbaik dalam menjaga alam sekitar. Tapi kena berhati-hati dengan pelancongan supaya ia tidak terlalu mahal.
“Saya fikir pelancongan merupakan sesuatu yang boleh dijadikan sebagai pendapatan yang besar kepada negara tapi ia perlu dikawal,” ujarnya ketika ditemui di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, yang merupakan antara destinasi utama bagi pelancong jika ke Sandakan.
Antara tarikan pelancongan lain di Sandakan termasuk Taman Pulau-Pulau Penyu, Pulau Lankayan, Pusat Pemuliharaan Beruang Sun Bear, Perkampungan Air dan pelbagai lagi.
#alam sekitar #Amerika Syarikat #ekonomi #flora dan fauna #inap desa #makanan laut #media sosial #nasihat perjalanan #Orang Utan #pelancongan #penculikan #pilihan raya kecil #PRK Sandakan #rumah inap #Sandakan
;