Prolintas hubungkan masyarakat kepada syarikat pembangun projek SUKE, DASH
Astro Awani
Mac 19, 2017 10:00 MYT
Mac 19, 2017 10:00 MYT
Orang ramai kini boleh berhubung secara terus dan lebih mudah dengan syarikat-syarikat yang sedang membina Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara - Shah Alam (DASH) apabila pelbagai saluran komunikasi, termasuklah perkhidmatan van bergerak untuk kedua-dua lebuh raya ini dilancarkan oleh syarikat induk mereka, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).
Melalui kempen #contactlahkami ini, Prolintas sekali lagi memperkukuhkan komitmennya untuk mendekati masyarakat serta merapatkan lagi hubungan mereka dengan orang ramai, bukan sahaja sewaktu pembinaan SUKE dan DASH, tetapi untuk jangka masa yang panjang.
“Ini selaras dengan falsafah Kumpulan Syarikat Prolintas yang mengutamakan kualiti, teknologi dan tanggungjawab kepada rakyat dalam memajukan projek-projek infrastruktur.
“Orang ramai, terutamanya komuniti di sepanjang jajaran lebuh raya – lebuh raya di bawah kumpulan ini, adalah keutamaan kami,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohammad Azlan Abdullah.
Sementara itu, ketua Pengarah LLM, Datuk Ismail Md Salleh menyambut baik usaha penyediaan dua buah van yang berperanan sebagai Customer Service Mobile Kiosk yang bakal menjadi pusat informasi bergerak di kedua-dua kawasan projek SUKE dan DASH.
“Lokasi mobile kiosk yang berada di kawasan tumpuan ramai, dari jam 9 pagi sehingga 5.45 petang menjadikan saluran komunikasi ini amat praktikal dan lebih dekat dengan orang ramai.
“Secara terperincinya, SUKE dan DASH menyediakan talian hotline, Facebook, Twitter, e-mel, laman web dan aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun dari Google Play dan App Store,” tambah beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohammad Azlan, pula berkata SUKE dan DASH sentiasa peka dengan segala maklum balas yang diberikan oleh orang ramai semenjak dari awal perancangannya.
“Sesi perjumpaan telah dilakukan dengan pelbagai pihak semenjak dari peringkat perancangan projek. Usaha ini masih lagi diteruskan sehingga kini dan dengan kewujudan saluran komunikasi yang terbuka dan senang dicapai oleh masyarakat," kata beliau.
SUKE merupakan lebuh raya dua hala dengan tiga lorong, dengan jarak 24.4 kilometer, bermula di Sri Petaling dan berakhir di Hulu Kelang. DASH pula adalah lebuh raya dua hala dengan tiga lorong, sepanjang 20.1 kilometer yang bermula di Puncak Perdana U10 Shah Alam dan berakhir di Persimpangan Penchala.
Kerja-kerja pembinaan kedua-dua lebuh raya ini dijangka mengambil masa selama empat tahun, dengan kerja-kerja awal pembinaan bermula pada akhir tahun 2016 dan dijangka siap pada tahun 2020.