PROLINTAS ambil maklum 'warga kerja' ditahan, komited kekalkan integriti

Firdaus Azil
Jun 25, 2024 23:57 MYT
PROLINTAS berkata, mereka mengambil maklum beberapa 'warga kerja' mereka ditahan reman oleh SPRM bagi membantu siasatan, kekal komited dengan integriti. - Gambar prolintas.com.my
KUALA LUMPUR: Syarikat konsensi lebuhraya, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) mengambil maklum beberapa ‘warga kerja’ mereka telah ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan.
Dalam satu kenyataan pada malam Selasa, ia berkata, penahanan tersebut berhubung kes projek pembinaan.
“Kami komited dan bersedia untuk bekerja rapat dengan semua pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan.
“PROLINTAS terus komited dalam mengekalkan integriti dan tadbir urus korporat pada tahap tertinggi,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan SPRM telah menahan lapan individu termasuk pegawai syarikat konsesi lebuh raya bergelar Datuk, kerana disyaki terlibat rasuah bernilai lebih RM1.6 bilion.
Sumber berkata kesemua suspek terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita berusia sekitar 40-an hingga 50-an itu, ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, semalam.
"Tiga daripada suspek yang berkhidmat di syarikat konsesi lebuh raya, disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai lebih RM1 bilion daripada lima pemilik syarikat, sebagai balasan mendapatkan kontrak mengambil alih kerja pembinaan yang sebelum ini dijalankan sebuah syarikat lain.
"Selain itu, mereka juga dipercayai telah meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan satu seksyen projek lebuh raya lain di Lembah Klang yang bernilai lebih kurang RM670 juta. Keseluruhan nilai kedua-dua projek ialah RM 11 bilion," menurut sumber itu lagi.
#PROLINTAS #SPRM #kes rasuah #kes pembinaan
;