Proklamasi Darurat: YDP Agong dijangka bertemu ketua, penasihat parti politik - Sumber
Firdaus Azil
Jun 7, 2021 17:32 MYT
Jun 7, 2021 17:32 MYT
KUALA LUMPUR: Beberapa siri mesyuarat membabitkan pemimpin parti politik dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah didakwa sedang dalam perancangan dan bakal berlangsung selama beberapa hari bermula 9 Jun ini.
Seorang sumber yang rapat dengan pimpinan kanan UMNO memberitahu Astro AWANI, mereka difahamkan pertemuan itu turut dirancang untuk melibatkan penasihat-penasihat parti politik, serta wakil dari Parlimen dan Pejabat Peguam Negara.
Bagaimanapun, sumber berkenaan berkata, belum ada surat rasmi dari Istana Negara tentang siapa yang dibenarkan hadir, termasuk kepada barisan presiden parti-parti politik di negara ini.
“Sebab (perkara ini) dari segi dalaman tidak diperincikan lagi. Tetapi perjumpaan YDP Agong dengan beberapa ketua parti betul dan berkemungkinan termasuk penasihat-penasihat parti,” katanya lagi.
Setakat ini Astro AWANI telah cuba mendapatkan pengesahan dari pejabat presiden-presiden parti utama di negara ini, namun pegawai mereka mendakwa masih belum mendapat sebarang maklumat rasmi.
Terdahulu akhbar The Star memetik sumber sebagai berkata, perjumpaan berprofil tinggi itu akan dimulai dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Rabu (9 Jun), diikuti DAP dan PKR pada 10 Jun, dan seterusnya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan UMNO pada 11 Jun.
Awal hari ini bekas ahli UMNO Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, yang dikenali sebagai penyokong kuat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, telah memuat naik sebuah grafik mengucapkan terima kasih kepada perkenan YDP Agong berhubung suatu Majlis Mengadap oleh semua ketua-ketua dari keseluruhan parti-parti politik.
“Keseluruhan rakyat menyandarkan harapan yang tinggi kepada kebijaksanaan KDYMM Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu untuk mencari satu formula penyatuan ke arah membina semula Malaysia demi kesejahteraan masa depan bangsa, negara serta agama,” katanya lagi.
Bagaimanapun Khairuddin, ketika dihubungi Astro AWANI enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan dan grafik yang beliau sertakan di laman media sosialnya.
#Yang di-Pertuan Agong
#perjumpaan
#parti politik
#ketua parti politik
#presiden parti politik
#UMNO
#PKR
#Bersatu
#DAP
#Amanah
#Pejuang
#muda
#PAS
#Parlimen
#Peguam Negara
#darurat