Proklamasi darurat: PM beri amaran keras pihak ganggu gugat kerajaan urus COVID-19
Fauzi Suhaimi
Januari 12, 2021 13:47 MYT
Januari 12, 2021 13:47 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat usaha kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dan ekonomi negara.
Tegas beliau, amaran keras itu demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.
Sehubungan itu, beliau merayu agar semua pihak kekal tenang dan memberikan kepercayaan serta sokongan sepenuhnya kepada kerajaan untuk membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.
"Saya juga menyeru kepada semua ahli politik, pemimpin masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan agama, belia, mahasiswa dan setiap lapisan masyarakat supaya bersatu dan berganding bahu dalam menghadapi situasi yang amat sukar ini.
"Yang penting, matlamat kita hanyalah satu iaitu kita mesti menang dalam memerangi COVID-19," katanya ketika menyampaikan Pengumuman Khas Darurat di sini, pada Selasa.
Muhyiddin turut mengajak semua pihak untuk mengamalkan disiplin kendiri dengan lebih ketat
sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat yang berkuatkuasa ini.
"Mudah-mudahan kita akan dapat melandaikan lekuk jangkitan COVID-19 dengan segera dan seterusnya mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan negara kita yang sedang terbeban dengan peningkatan kes-kes positif COVID-19 saban hari.
"Saya juga berharap agar para alim-ulama’ dan pemimpin agama dapat mendoakan kesejahteraan negara kita dan mudah-mudahan kita semua dilindungi daripada sebarang bala bencana," katanya.
#Muhyiddin Yassin
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#pandemik
#keselamatan
#rakyat
#COVID-19
#pemimpin agama
#ekonomi
#politik
#tindakan tegas
#darurat
#Pengumuman Khas Darurat