Proklamasi Darurat: PH belum pilih 3 calon anggotai Jawatankuasa Khas Bebas - Saifuddin

Umavathi Ramayah
Januari 14, 2021 14:29 MYT
Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Pakatan Harapan (PH) masih belum membuat sebarang keputusan berhubung tiga calon yang akan dipilih untuk menyertai Jawatankuasa Khas Bebas bagi mengendali pelaksanaan darurat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim baharu sahaja semalam menerima surat jemputan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan.
"Saya ada minta Datuk Takiyuddin beberapa maklumat tambahan seperti terma rujukan dan juga komposisi jawatankuasa.
"Surat bertarikh 14 Januari 2020 itu hanya berbentuk jemputan dan memohon pembangkang untuk menamakan tiga calon," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu,Saifuddin yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, PH akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang akan berbincang perkara ini dengan pimpinan blok pembangkang dalam masa terdekat," tambahnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pengumuman khas darurat memaklumkan, bagi menjamin pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil dan telus, sebuah Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan.
Jawatankuasa itu ditubuhkan di bawah suatu Ordinan untuk menasihati Seri Paduka Baginda sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan Proklamasi lebih awal dari tarikh ditetapkan.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah sebelum itu memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan.
Pengisytiharan proklamasi darurat boleh diperkenan YDP Agong
#perintah darurat #PKP #Jawatankuasa Khas Bebas b #Pakatan Harapan #Yang di-Pertuan Agong #Perdana Menteri
;