Proklamasi darurat: Pentadbiran negara tidak akan terkesan - KSN
Umavathi Ramayah
Januari 12, 2021 14:34 MYT
Januari 12, 2021 14:34 MYT
KUALA LUMPUR: Jentera pentadbiran negara tidak akan terkesan dengan pengisytiharan darurat, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Beliau berkata, ia adalah kerana segala operasi dalam sektor awam dan swasta yang merangkumi aktiviti ekonomi, industri serta rantaiannya berjalan seperti biasa dengan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa.
Beliau menjelaskan, situasi ini adalah berbeza dengan Proklamasi Darurat pada tahun 1969, yang disebabkan oleh ancaman keselamatan yang menyebabkan pengawalan ketat anggota keselamatan negara bagi menangani keadaan tegang pada ketika itu.
"Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada kali ini adalah untuk mengekang ancaman penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan.
"Pendekatan ini akan menjamin kestabilan negara dan membolehkan Kerajaan kekal fokus kepada usaha memulihkan ekonomi serta memastikan kehidupan rakyat yang makmur dan sejahtera," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohd Zuki memberi jaminan bahawa anggota perkhidmatan awam akan terus memberikan komitmen dalam memastikan sistem penyampaian Kerajaan tidak terjejas berteraskan undang-undang dan dasar kerajaan yang diputuskan dari semasa ke semasa.
"Saya dan perkhidmatan awam akan terus menjunjung taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan menyokong pengisytiharan proklamasi darurat dengan menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar perkhidmatan awam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara," katanya.
Pelaksanaan Proklamasi Darurat ini akan berkuatkuasa serta merta sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dengan berkesan.
#Yang di-Pertuan Agong
#COVID-19
#undang-undang
#perintah kawalan pergerakan
#keselamatan
#ekonomi
#perintah darurat
#PKP
#darurat
#SOP