Proklamasi Darurat: Ordinan baharu khusus untuk Sarawak - Speaker DUN
Shafik Ahmad
Ogos 4, 2021 14:14 MYT
Ogos 4, 2021 14:14 MYT
KUCHING: Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 bukan lanjutan daripada Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang dilaksanakan di seluruh negara.
Sebaliknya kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar ia adalah ordinan baharu yang khusus untuk Sarawak.
Malah jelasnya, dalam penentuan proses daruat itu, Yang di-Pertuan Agong harus berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak termasuk penamatan atau pengungkaian proklamasi darurat yang diperuntukkan dalam Sekyen 2(2) dan Seksyen 3(3) ordinan tersebut.
“Seksyen 2(2), walau apa pun subseksyen (1), operasi Proklamasi Darurat (Sarawak) boleh ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Negeri Sarawak.
“Seksyen 3 (3) - DUN Sarawak akan dibubarkan pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) diungkai atau dibatalkan,” katanya pada sidang media di DUN Sarawak pada Rabu.
Menurutnya sepanjang tempoh darurat dikuatkuasakan, peruntukan berkaitan persidangan DUN yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sarawak tidak akan berkuat kuasa.
Selain itu, imbuhan dan faedah anggota DUN akan terus dibayar di bawah peruntukan undang-undang bertulis sehingga tarikh pembubaran diumumkan.
Bercakap mengenai kuasa eksekutif, Seksyen 6(1) katanya, Ketua Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri boleh menjalankan peranan dan fungsinya seperti biasa.
“Kuasa Eksekutif (Seksyen 6 (1)) - Selama keadaan darurat berkuat kuasa, Ketua Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sarawak yang telah wujud segera sebelum dikeluarkan Proklamasi Darurat (Sarawak) pada 29 Julai 2021 akan terus menjalankan fungsi eksekutif oleh undang-undang (akan terus menjalankan fungsi tersebut),” katanya.
Kata Asfia, ordinan tersebut menyatakan dengan jelas bahawa pembubaran DUN dan tarikh pilihan raya negeri harus diambil kira bersama-sama kepentingan utama membabitkan kesejahteraan umum dan kesihatan rakyat.
“Pilihan Raya Negeri Sarawak berdasarkan Artikel 21 (3) dan 21 (4) Perlembagaan Negeri yang seharusnya diadakan dalam waktu 60 hari dari tarikh pembubaran tidak dapat beroperasi tanpa Seksyen 3 (2) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Sarawak) 2021.
“Seksyen 3 (2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 sangat diperlukan untuk Perkara 21 (3) dan Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkenaan melaksanakan proklamasi darurat di Sarawak bermula 2 Ogos lalu hingga 2 Februari depan.
Pengisytiharan darurat itu dibuat selepas mengambil kira empat faktor utama, antaranya keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam pandemik COVID-19 selain pembubaran DUN Sarawak pada 7 Jun lalu ditangguhkan susulan proklamasi darurat sehingga 1 Ogos lalu di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 dan di bawah Artiket 150 (1) Perlembagaan Persekutuan, ia dikeluarkan bagi menangguh pilihan raya umum disebabkan wabak penyakit.