Proklamasi Darurat: Kerajaan sepatutnya ada kelebihan tangani COVID-19 - Penganalisis

Firdaus Azil
April 18, 2021 21:10 MYT
Hamidin turut membangkitkan kembali peranan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang seolah-olah masih belum bergerak sehingga kini. - Gambar fail/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Proklamasi Darurat sepatutnya memberi kelebihan kepada kerajaan Persekutuan untuk menangani dan mengekang penularan pandemik COVID-19, kata Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Hamidin Abd Hamid.
Jelasnya, kelebihan yang dimaksudkan antaranya ialah bagaimana darurat dapat mengelakkan karenah birokrasi dan koordinasi yang lebih baik antara kementerian.
Namun, Hamidin berkata, selepas 100 hari darurat dilaksanakan, keadaan dilihat tidak begitu baik, apatah lagi negara telah mencatatkan bilangan kes baharu melebihi angka 2,000 selama empat hari berturut-turut.
“Tidak nampak sebarang usaha daripada pihak kerajaan, atau pimpinan yang memberi justifikasi darurat untuk membolehkan sesebuah ordinan atau undang-undang baharu diperkenalkan mengatasi segala apa yang diberikan undang-undang sebelum ini.
“Rakyat tertanya-tanya apa dasar yang dibuat menggunakan Proklamasi Darurat untuk (benar-benar) atasi COVID-19. Setakat ini apa yang dilakukan... seperti ordinan untuk tingkatkan kompaun kepada RM10,000, dan pengenalan ordinan berita tidak benar (sahaja),” katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.
Selain itu, Hamidin turut membangkitkan kembali peranan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang seolah-olah masih belum bergerak sehingga kini.
Beliau berkata, ketiadaan sebarang berita mengenainya secara tidak langsung akan menyebabkan rakyat mempersoalkan tentang kepentingan sebenar jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 itu.
Mengulas lanjut, Hamidin berkata, kerajaan Persekutuan perlu mengukuhkan lagi sistem penyampaian baik dalam pelaksanaan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP), sehinggalah kepada usaha memastikan rakyat mendapat maklumat yang mencukupi.
“Sistem penyampaian harus diperketatkan, dalam usaha kita mengawal selia SOP dan sebagainya. Konsep penguatkuasaan harus tanpa mengenal siapa dan sebagainya.
“Kita bukan lagi cakap pasal undang-undang, tetapi seharusnya kerajaan memberi tumpuan pada kepada sistem penyampaian, untuk memastikan setiap rakyat terpelihara dan jaga kepentingan mereka,” katanya lagi.
Proklamasi Darurat | Kerajaan sepatutnya ada kelebihan tangani COVID-19
#100 hari Proklamasi Darurat #JK Bebas Khas Darurat #Hamidin Abdul Hamid #Felo Ilham Centre #kerajaan #SOP #rakyat #operasi #COVID-19 #pandemik #demokrasi #gantung parlimen
;