Proklamasi Darurat: Hospital swasta setuju beri kemudahan fasiliti
Hasimi Muhamad
Februari 16, 2021 10:10 MYT
Februari 16, 2021 10:10 MYT
PUTRAJAYA: Hospital-hospital swasta telah memberi kerjasama secara sukarela untuk menyediakan kemudahan fasiliti, sumber manusia dan kakitangan dalam usaha memerangi COVID-19 sepanjang pelaksanaan Proklamasi Darurat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerjasama itu membolehkan kerajaan tidak perlu melaksanakan pengambil alihan sementara aset swasta di bawah Ordinan Darurat.
“Saya nak memaklumkan bahawa perkara ini telah dilaksanakan iaitu untuk menumpukan kepada usaha-usaha kita menyediakan fasiliti yang cukup untuk menangani masalah COVID-19 di seluruh negara.
“Tetapi yang baik walaupun ada Ordinan Darurat yang diperuntukan, seperti yang sama sebutkan, kerjasama telah diberikan pihak swasta amat baik sekali.
“Mereka bersedia dalam segala bentuk bantuan dan sokongan kepda kehendak kita. Sebagai contoh, hospital swasta telah bersedia untuk membantu menyediakan kemudahan termasuk katil, doktor, jururawat dan pegawai-pegawai perubatan yang lain,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya di Pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini.
Jelas Perdana Menteri lagi, dalam tempoh yang sama, kerajaan akan bekerjasama dengan agensi-agensi, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan ketua masyarakat untuk menggalakkan pendaftaran diri sebagai penerima vaksin.