Proklamasi darurat: Badan kehakiman terus berfungsi - PM Muhyiddin

Fareez Azman
Januari 12, 2021 12:54 MYT
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan badan kehakiman akan terus berfungsi ketika pelaksanakan Proklamasi Darurat dijalankan. Gambar: Fail
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan badan kehakiman akan terus berfungsi ketika pelaksanakan Proklamasi Darurat dijalankan.
Malah tegas Muhyiddin, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.
"Saya juga memberi jaminan bahawa sepanjang tempoh darurat ini, badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan.
"Kerajaan Perikatan Nasional akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah. The judiciary will continue to be the beacon of justice in our country and I will never interfere in the business of the court," katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin turut memaklumkan bahawa aktiviti ekonomi akan terus berfungsi tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
[LAPOR LANGSUNG] Perisytiharan Darurat: Bukan rampasan kuasa tentera, tiada perintah berkurung
"Kerajaan akan memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat mampu untuk terus bekerja dan perniagaan, perdagangan dan industri dapat terus beroperasi seperti biasa.
"Kerajaan juga komited untuk memastikan amalan-amalan governans terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat," katanya lagi.
Malah organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa jelas Muhyiddin seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia akan terus memainkan peranan mereka sebagai pemangkin, pengawal selia dan pemudahcara syarikat dan pasaran.
#Muhyiddin Yassin #Bursa Malaysia #Bank Negara Malaysia #SOP #Perdana Menteri #perintah kawalan pergerakan #PKP #Malaysia #ekonomi #mahkamah #Kerajaan Perikatan Nasional #menteri #rakyat #BNM
;