Proklamasi Darurat: Ahli Parlimen PH, pembangkang tidak perlu sertai Jawatankuasa Khas - Mahfuz
Fareez Azman
Januari 14, 2021 14:54 MYT
Januari 14, 2021 14:54 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan pembangkang tidak perlu sertai sebarang jawatankuasa yang dibentuk dari Proklamasi Darurat.
Demikian jelas Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan ringkas pada Khamis.
Ujarnya, tiada keperluan darurat dicadangkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri yang sudah hilang bilangan majoriti sokongan Ahli Parlimen.
"Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Pembangkang tidak perlu sertai sebarang jawatankuasa yang dibentuk dari Proklamasi Darurat. Ini kerana tiada keperluan darurat yang dicadangkan oleh Perdana Menteri dan jemaah menteri sudah hilang bilangan majoriti Ahli Parlimen yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM.
"Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional adalah kerajaan yang merampas mandat rakyat dan kini di waktu keputusan untuk darurat dibuat oleh jemaah menteri, kerajaan PN sudah hilang majoriti. Hanya 110 sahaja, dan sehari kemudian bilangan menurun pada 109.
"Ini jelas Perdana Menteri dan jemaah menteri yang ada ini pada moralnya tidak wujud dan tidak layak untuk membuat keputusan dan mempersembahkan pada Yang di-Pertuan Agong. Jika Ahli Parlimen pembangkang sertai, bermakna memperakui keabsahan Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional," katanya lagi.
Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.
#Muhyiddin Yassin
#Mahfuz Omar
#Pakatan Harapan
#Parti Amanah Negara
#Yang di-Pertuan Agong
#Perdana Menteri
#PM
#rakyat
#Parlimen
#hilang
#kerajaan
#Amanah
#COVID-19
#darurat