Projek UPSI Kampus Teluk Intan diteruskan secara tender terbuka - Nga

Bernama
Mei 5, 2023 19:13 MYT
Nga berkata beliau difahamkan proses tender terbuka projek bernilai hampir RM130 juta itu akan dilaksanakan pada bulan ini. - Fail/BERNAMA
TELUK INTAN: Projek pembinaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Teluk Intan di Jalan Changkat Jong di sini bakal diteruskan secara tender terbuka, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Nga berkata beliau difahamkan proses tender terbuka projek bernilai hampir RM130 juta itu akan dilaksanakan pada bulan ini.
"Projek 'sakit' UPSI ini (projek pembinaan) kerajaan dulu, memang tak dapat dilaksanakan, maka dalam tempoh enam bulan ini setelah Kerajaan Perpaduan dibentuk, kami berbincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.
"Hari ini kami berasa amat bersyukur akhirnya usaha kita mencapai hasil, kini semua pun disusun balik (projek tersebut), tidak ada lagi rundingan terus, kita buat secara tender terbuka," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Daerah Hilir Perak di sini hari ini.
Terdahulu, Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan mengumumkan perkara itu ketika berucap pada majlis tersebut, selain menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada kesemua 24 masjid di bawah Parlimen Teluk Intan.
Projek pembinaan tersebut diumumkan Perdana Menteri Keenam Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatan ke sini semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada 2014.
Projek itu adalah di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang dirancang pada 2011.
-- BERNAMA
#Universiti Pendidikan Sultan Idris #Kampus Teluk Intan #UPSI #Nga Kor Ming
;