Projek terowong di Setiawangsa akan bermula September - DBKL

Bernama
Ogos 10, 2022 05:15 MYT
DBKL telah melantik kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut dan ia akan mengambil masa selama 12 bulan untuk disiapkan. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Projek pembinaan terowong di Jalan Mohd Yatim Yahaya-Jalan Setiawangsa di sini, dijangka bermula pada September ini.
DBKL dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan pihaknya telah melantik kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut dan ia akan mengambil masa selama 12 bulan untuk disiapkan.
"Sepanjang tempoh projek dilaksanakan kelak, penutupan jalan dan lencongan sedia ada akan diteruskan sehingga projek siap sepenuhnya.
"DBKL akan memastikan pengurusan trafik yang diuruskan oleh kontraktor dilantik berada dalam keadaan teratur dan baik untuk digunakan oleh semua pengguna jalan raya," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dalam sidang media pada Rabu menggesa DBKL menyegerakan projek pembinaan terowong di jalan tersebut yang menjadi laluan utama penduduk, termasuk dari Wangsa Maju dan sebahagian yang menetap di Sri Rampai.
-- BERNAMA
#projek terowong #Setiawangsa #DBKL #Jalan Mohd Yatim Yahaya
;