Projek TAPS dijangka siap Mei 2025
Bernama
November 16, 2024 21:15 MYT
November 16, 2024 21:15 MYT
ALOR GAJAH: Projek pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih Melaka bernilai RM234 juta yang mengalami kelewatan akibat masalah teknikal dijangka siap pada Mei 2025, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusoh.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menegaskan jaminan tersebut berdasarkan surat aku janji yang ditandatangani pada 12 Ogos lepas dan pelan pemulihan yang dirancang oleh pihak kontraktor terlibat.
"Sudah tentu saya tidak berpuas hati (perkembangan projek) yang agak lewat, kerana itulah saya turun padang dan panggil kontraktor untuk bentangkan pelan pemulihan, bagaimana mereka hendak siapkannya memandangkan mengikut kata kontraktor ia akan siap pada Mei tahun depan
"Projek ini sangat kritikal sebab projek-projek lain yang akan dilaksanakan bergantung daripada TAPS termasuk takungan yang berkapasiti 14,000 juta liter air mentah dari Sungai Rembau ini boleh menampung penduduk Alor Gajah sehingga 2030," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melawat tapak projek TAPS Jernih di sini hari ini sempena Program PETRA Skuad Zon Selatan yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Fadillah berkata berdasarkan Program Kerja Pemantauan Pindaan Nombor 2, sehingga 25 Okt lepas kemajuan sebenar ialah 60.52 peratus berbanding kemajuan dirancang 61.32 peratus dengan kelewatan selama 43 hari yang disebabkan oleh kerja dan aktiviti pembinaan pembentung pelencongan (diversion culvert), hujan lebat dan banjir sebelum ini.
Projek pembinaan TAPS Jernih yang bermula 2022 itu dijangka menyelesaikan isu sumber air mentah terhad yang dialami di daerah tersebut di samping mengurangkan kebergantungan Melaka pada bekalan air mentah dari Negeri Sembilan dan Johor.
Ia membabitkan pembinaan stesen muka sauk bagi mengalihkan air mentah dari Sungai Rembau dan mengepam air melalui paip saluran sepanjang lima kilometer ke empangan Jernih selain mampu menjadi sumber simpanan bekalan air selama 90 hari pada musim kemarau.
-- BERNAMA