Projek tambak laut PSR: Pulau Pinang pertimbang mohon semakan kehakiman

Dewi Nur Harasha Alias
September 8, 2021 21:54 MYT
Zairil Khir berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan Lembaga Rayuan tersebut yang dibuat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang mempertimbangkan untuk memohon semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membatalkan kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan Lembaga Rayuan tersebut yang dibuat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Keputusan yang diberikan oleh Ketua Pengarah JAS adalah atas alasan teknikal tidak memenuhi kehendak seksyen 34A(4)(a) Akta.
"Justeru, sementara mendapat salinan rasmi perintah Lembaga Rayuan secara bertulis, kerajaan negeri akan mempertimbangkan tindakan undang-undang melalui permohonan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan tersebut.
"Kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan tindakan lain antaranya kemungkinan mengemukakan satu laporan EIA yang dikemas kini semula berdasarkan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri yang dirujuk dalam keputusan Lembaga Rayuan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
BACA: Lembaga Rayuan JAS batal kelulusan EIA projek tambak laut PSR di P. Pinang
Lembaga Rayuan JAS pada Rabu membuat keputusan untuk mengetepikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan, sekali gus menyebabkan kelulusan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 terbatal dan tidak lagi sah.
Pelaksanaan projek PSR seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.
Projek itu dibina bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai kira-kira RM46 bilion.
Bagaimanapun projek tersebut mendapat bantahan penduduk khususnya golongan nelayan di kawasan terbabit.
#Lembaga Rayuan JAS #EIA #tambak laut #semakan kehakiman
;