Projek Sungai Klang: 'Ini cerita sensasi sempena PRN saja' - Amirudin
Madiha Abdullah
Ogos 7, 2023 00:21 MYT
Ogos 7, 2023 00:21 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan dakwaan berkenaan salah laku dalam pemberian projek membersihkan Sungai Klang hanyalah tuduhan bersifat sensasi politik menjelang Pilihan Raya Negeri.
Malah, beliau juga memaklumkan isu yang ditimbulkan sudah diperjelaskan beberapa kali semasa ia dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri.
Menjawab mengenai pembabitan Berjaya Land dalam projek tersebut, Amirudin menjelaskan, pihaknya sudah membuat penilaian request for proposal (RFP) daripada 80 buah syarikat selama lapan bulan, namun tiada syarikat yang mampu menepati permintaan dan keperluan yang digariskan kerajaan negeri.
"(Berjaya) menghantar (kertas kerja) kemudian... selepas proses RFP dibuat dan selepas dimaklumkan tiada yang layak.
"Saya suruh pihak Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI) dan jawatankuasa teknikal untuk semak menggunakan skim RFP yang lepas supaya kita berlaku adil, walaupun dia lambat, mana tahu mungkin boleh berjaya dan dia bersedia untuk membiayai agar proses pembersihan diteruskan.
"Daripada kita terus biarkan duit kerajaan mengalir untuk pungut sampah, syarikat ini kata dia bersedia pungut sampah. Tanah ini 45 peratus masih dimiliki Landasan Lumayan, tak ada penyerahan kepada Berjaya pun," katanya dalam program podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan, pada Isnin.
Minggu lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam Jelajah Mega PN Best "Sayangi Kedah Sejahtera" di Dataran Darul Aman, Jitra, mendakwa wujud skandal antara Amirudin dengan Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan yang kononnya mahu melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.
Sebagai timbal balas, taikun itu akan mendapat tanah 600 ekar di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan sekitar RM180 juta.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Landasan Lumayan yang merupakan pemaju utama projek inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG) itu, adalah dilantik bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.
Landasan Lumayan, sebuah anak syarikat MBI yang merupakan pemegang 45 peratus tanah dan Berjaya Hartanah Berhad (55 peratus) membentuk sebuah syarikat tujuan khas melalui usaha sama (JVCo) yang dikenali dengan nama Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB), antara lainnya, untuk membersihkan dan membangunkan Sungai Klang.
"Tetapi Azmin hanya beri hutang RM45 juta untuk lakukan pembersihan dengan memerangkap sampah, dengan bot perangkap sampah.
"Kalau ada pertikaian yang mengatakan syarikat itu (Landasan Lumayan) tak layak, memang betul kerana syarikat itu tidak buat bisnes... hanya diberikan RM5 juta sebagai hutang untuk buat proses pembersihan," ujarnya.