Projek SSAP: Tiada laporan EIA diterima daripada PKPS - JAS

Bernama
April 15, 2021 21:13 MYT
Norlin berkata, tiada laporan EIA yang dikemukakan oleh pihak PKPS kepada JAS sebagaimana kehendak Seksyen 34A(6), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak menerima laporan kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi pembangunan projek Selangor Smart Agro Park (SSAP) di Changkat Menteri, Sabak Bernam.
Dalam kenyataan semalam, Ketua Pengarah Alam Sekitar Norlin Jaafar berkata berdasarkan rekod, tiada laporan EIA yang dikemukakan oleh pihak PKPS kepada JAS sebagaimana kehendak Seksyen 34A(6), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Terma Rujukan (TOR) Laporan EIA bagi cadangan Pembangunan Ladang Kelapa Sawit di keseluruhan Kawasan Tanah Milik PKPS di Sabak Bernam, telah diterima oleh JAS pada 5 Disember 2019, bagaimanapun laporan TOR tersebut tidak disahkan pada 29 Januari 2020.
"Susulan siasatan JAS Selangor ke lokasi projek, notis arahan telah dikeluarkan kepada PKPS pada 8 April 2021 di bawah Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan perintah larangan bagi aktiviti yang ditetapkan di bawah Seksyen 34AA akta yang sama pada 12 April 2021 bagi menghentikan kerja-kerja pembersihan tapak dengan serta-merta dan mengemukakan laporan EIA kepada JAS," katanya.
Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau pelaksanaan projek ini dan memastikan tiada sebarang aktiviti dijalankan di tapak dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.
Pada 8 April lepas, PKPS dalam kenyataan media menyatakan pihaknya melantik konsultan pada 2019 untuk menjalankan kajian EIA di atas tanah tersebut bagi cadangan pembukaan kawasan ladang kelapa sawit, sebagaimana kategori kegunaan tanah yang telah ditetapkan dalam Suratan Hakmilik PKPS.
-- BERNAMA
#undang-undang #siasatan #Jabatan Alam Sekitar #Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor #Penilaian Impak Alam Sekitar #JAS