Projek solar, diesel Sarawak: Kementerian laksana siasatan dalaman

Harits Asyraf Hasnan
Jun 11, 2018 18:10 MYT
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata siasatan juga dibuat bagi mengenal pasti mekanisme untuk memastikan perkara itu tidak berulang. - Foto BERNAMA
Kementerian Pendidikan melaksanakan proses siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu yang dipercayai terlibat dalam isu penyelewengan projek bekalan tenaga elektrik melalui sistem solar hibrid dan pembekalan diesel di 369 sekolah di Sarawak.
Menterinya, Maszlee Malik berkata siasatan juga dibuat bagi mengenal pasti mekanisme untuk memastikan perkara itu tidak berulang.
“Sebagai langkah serta-merta, pegawai kementerian telah diarahkan mengambil langkah segera mencari jalan penyelesaian bagi projek ini selaras dengan perjanjian dan perundangan,” katanya.
Menjelaskan mengenai projek berkenaan, Maszlee berkata 369 sekolah di Sarawak sebelum ini tidak mempunyai bekalan elektrik sebaliknya hanya menggunakan genset diesel untuk menjana elektrik yang dibekalkan beberapa kontraktor secara kontrak.
Tambahnya, bermula 1 Januari 2017 kontrak diberikan kepada sebuah syarikat yang pada asalnya hanyalah satu daripada kontraktor terlibat.
Maszlee berkata, terdapat beberapa masalah berkaitan isu pemberian kontrak apabila projek bernilai lebih RM1 bilion sepanjang tiga tahun itu tidak melalui proses tender terbuka.
“Mungkin wujud isu ketidakpatuhan terhadap tatacara perolehan projek berkenaan, selain ia berjalan terlalu lewat berbanding jadual yang sepatutnya sudah siap 51 peratus pada 15 Mei lalu,” ujarnya.
Maszlee juga menjelaskan terdapat beberapa pegawai kementerian cuba memperbetulkan keadaan namun nasihat mereka didakwa tidak dipedulikan.
SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata ia telah menjalankan siasatan awal terhadap isu itu pada awal April lepas setelah menerima maklumat daripada orang awam.
#Kementerian Pendidikan #pendidikan #projek solar Sarawak #Sarawak #sekolah #sekolah sarawak #siasatan #siasatan dalam
;