Projek sedut pasir laut di Yan, Kedah perlu dikaji semula - CAP

Dewi Nur Harasha Alias
September 22, 2022 15:57 MYT
Pulau Song Song terjejas akibat aktiviti pengambilan pasir laut di perairan Yan, Kedah. - Gambar BERNAMA
GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) untuk mengkaji semula kelulusan projek menyedut pasir laut di Yan, Kedah kerana ia menjejaskan alam sekitar dan sumber pendapatan penduduk di daerah itu.
Selain KetSA, kerajaan Kedah dan Jabatan Perikanan juga perlu menyiasat aktiviti tersebut kerana ia turut mengancam sumber perikanan dan kehidupan lebih kurang 1,000 nelayan di situ.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, selain menjejaskan keadaan semula jadi empat buah pulau di perairan tersebut, kegiatan menyedut pasir juga dibimbangi menyebabkan pembiakan hidupan laut dan ekosistem di situ terancam.
“CAP difahamkan oleh nelayan-nelayan yang terlibat, selain boleh menjejaskan keadaan semula jadi empat buah pulau di perairan tersebut iaitu Pulau Song Song, Pulau Telur, Pulau Bunting dan Pulau Bidan serta pembiakan hidupan laut, ekosistem di situ juga terancam,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
“Operasi menyedut pasir hanya dibenarkan di luar kawasan tiga batu nautika dari pulau-pulau berkenaan namun kapal penyedut pasir di situ kerap melakukan aktiviti mereka berhampiran pulau-pulau itu pada waktu malam bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa” tambah Mohideen lagi.
Menurut Mohideen, antara pulau yang teruk terancam ketika ini ialah Pulau Song Song apabila pantainya telah menjadi sempit dan semakin mendap.
Perairan pulau berkenaan, kata beliau, sebelum ini menjadi tempat penyu mendarat, namun, kini tidak lagi sesuai untuk hidupan itu bertelur dan membiak.
Sehubungan itu, CAP, kata Mohideen, menggesa KetSA, jabatan dan agensi yang terlibat termasuk kerajaan Kedah agar memberi perhatian serius terhadap rungutan dan bantahan penduduk tempatan sebelum ini kerana mata pencarian mereka semakin terjejas akibat masalah itu.
“CAP percaya jika keadaan tersebut berlarutan, hidupan laut di perairan itu akan mengalami kepupusan dan boleh menggugat sektor perikanan negara pada masa akan datang.
“Manakala empat buah pulau di perairan tersebut juga mungkin lenyap dan hanya tinggal nama suatu ketika nanti jika punca kejadian itu tidak ditangani segera,” tegas beliau lagi.
Mohideen berkata, pihaknya kesal dengan kelulusan projek tersebut yang sepatutnya di kaji secara terperinci terlebih dahulu dan dipantau rapi oleh pihak kerajaan agar ia tidak mengancam alam sekitar sekali gus mencetuskan masalah ke atas kehidupan nelayan di daerah itu.
#sedut pasir laut #pembiakan hidupan laut #Persatuan Pengguna Pulau Pinang #mohideen abdul kader
;